Bursa Malaysia dibuka tinggi seketika sebelum menyusut kemudiannya

in Bisnes by

BURSA Malaysia dibuka tinggi pagi Isnin tetapi menyusut kemudian menjelang pengumuman data perdagangan Malaysia untuk bulan Mac lewat hari ini, yang menyebabkan para pelabur menjauhi pasaran buat sementara waktu.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.27 mata kepada 1,584.74 daripada penutup Jumaat iaitu 1,589.01.

Ketika pasaran dibuka pagi ini, indeks utama itu mengukuh 2.63 mata kepada 1,591.64.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 177 berbalas 144 manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,696 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan sebanyak 158.59 juta bernilai RM72.06 juta.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd menerusi catatannya hari ini, data perdagangan luar untuk bulan Mac akan dikeluarkan lewat hari ini.

“FBM KLCI masih dalam fasa sementara dan momentum teknikal negatif dijangka mempengaruhi prestasi indeks utama dalam bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun risiko luaran masih ada, pembukaan semula sempadan seharusnya memberi petanda baik kepada ekonomi tempatan, terutamanya sektor penerbangan dan pengguna.

“Pelabur juga perlu memantau data ekonomi utama China, yang akan dikeluarkan hari ini selain kadar inflasi Malaysia pada akhir minggu ini untuk mengukur hala tuju kadar faedah Bank Negara Malaysia (BNM) di masa hadapan,” tambah firma itu lagi.

Bagi pasaran komoditi, ia berkata minyak mentah diniagakan melebihi paras US$110 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) disokong dengan baik melebihi RM6,300 satu tan metrik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Maybank dan Public Bank turun dua sen, masing-masing kepada RM8.77 dan RM4.65, Petronas Chemicals rugi 10 sen kepada RM10.22, Press Metal susut sembilan sen kepada RM6.43 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.40.

Antara saham aktif pula, Cengild Medical naik 14 sen kepada 47 sen, Avillion menambah setengah sen kepada 9.5 sen, OCR menokok satu sen kepada 12.5 sen, Techna-X kekal pada 9.5 sen sementara Vortex susut setengah sen kepada 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menguncup 27.35 mata kepada 11,033.99, Indeks FBM Emas lebih rendah sebanyak 15.0 mata kepada 11,398.70, Indeks FBM Emas Syariah merosot 6.83 mata kepada 12,040.74, FBM 70 lemah 24.54 mata kepada 13,756.81 dan FBM ACE berkurangan 5.82 mata kepada 5,780.68.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.54 mata kepada 213.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 39.71 mata kepada 16,596.29 manakala Indeks Perladangan menokok 33.38 mata kepada 8,388.65. – Bernama