Bila azam tidak pernah menjadi

in Pojok by

MANUSIA memang mudah terpengaruh, ini realiti. Setiap kali awal tahun atau bulan Ramadan, ramai yang suka pasang azam. Menjadi atau tidak, itu belakang kira. Janji sudah ikut trend atau tradisi.

Tahun ini ada beberapa kawan Merak Jalanan mengaku pasang azam. Ramadan ini mereka nak turunkan berat badan, 1 kilogram (kg) pun dah dikira berjaya.

Caranya, mereka menempah atau beli pakaian raya sebulan awal, siap bersaiz S sebab yakin akan tercapai berat badan idaman kali ini.

Minggu kedua puasa, mereka merungut dalam tempoh seminggu 1kg naik. Merak Jalanan senyum sendiri sebab berjaya turunkan 5kg.

Sebenarnya, itu bukan sebab azam. Berat badan memang mudah mengecut kalau hilang selera makan. Selera waktu bersahur ‘lari’ walaupun beria-ia memasak.

Hujung minggu lepas, Merak Jalanan ambil peluang cuci mata berjalan-jalan nak tengok suasana di pusat-pusat membeli-belah dan bazar Ramadan. Manusia entah dari mana penuh di sana sini. Mereka sanggup beratur nak dapatkan apa yang mereka mahukan.

Di pintu luar pusat beli belah para suami dan anak-anak ‘bersidai’ menanti dengan muka monyok. Mata ini pula yang tak sanggup nak tengok. Situasi sama berlaku di bazar Ramadan.

Makanan viral pengaruh paling besar kini. Walhal juadahnya tidak seberapa, tak bersih, mahal pula atau silap percaturan langsung tak merasa.

Tapi Merak Jalanan kagum juga, gara-gara kuasa viral, ramai yang sanggup buat apa sahaja untuk makan.

Sebenarnya Merak Jalanan pun terlepas kata. Sebelum puasa pasang azam tidak mahu berbuka puasa di luar sebaliknya memasak sendiri di rumah.

Sedar tak sedar, petang semalam Merak Jalanan beratur juga hanya untuk mendapatkan sebekas nasi lemak untuk berbuka puasa.