Hepatitis merebak ke AS, empat lagi negeri di Eropah

in Global by

STOCKHOLM – Kes hepatitis yang tidak diketahui dari mana asalnya dan pertama kali dikesan pada kanak-kanak United Kingdom (UK) kini direkodkan di empat lagi negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS), kata agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, pihaknya sedang memantau 84 kes hepatitis akut teruk yang dilaporkan di Britain sejak 5 April lepas dan menjangkakan lebih banyak kes akan berlaku dalam tempoh akan datang.

Kini kes itu direkodkan terhadap sejumlah kanak-kanak di Denmark, Ireland, Belanda dan Sepanyol, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sembilan lagi kes yang disyaki juga telah direkodkan di negeri Alabama, AS, katanya.

“Siasatan sedang dijalankan di semua negara yang melaporkan kes. Pada masa ini, punca sebenar hepatitis dalam kalangan kanak-kanak ini masih tidak diketahui,” kata ECDC seperti dilaporkan AFP.

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak tidak mengalami demam tetapi beberapa kes di UK adalah sangat teruk sehingga pesakit terpaksa dipindahkan ke unit pakar hati kanak-kanak manakala enam kanak-kanak pula telah menjalani pemindahan hati, kata WHO dan ECDC.

Kanak-kanak yang berumur di bawah 10 tahun akan mempunyai gejala seperti penyakit kuning, cirit-birit, muntah dan sakit perut.

Hepatitis ialah penyakit radang hati yang pada kebiasaanya tersebar menerusi makanan dan minuman yang tercemar. – Agensi