PRU15: Serah kepada pucuk pimpinan calon Batu Sapi

in Politik by

KOTA KINABALU – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan kekal dengan pendirian menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Katanya, walaupun jentera sudah dipersiapkan untuk menghadapi PRU15 namun perbincangan mengenai calon turut melibatkan parti lain.

“Ini soalan tidak dapat dijawab sebab tiada kepastian (calon). Jadi terpulang kepada Datuk Seri Hajiji Noor (Pengerusi Bersatu Sabah) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Ketua UMNO Sabah) bagaimana perbincangan mereka.

“Kalau mereka berfikiran untuk masa depan Sabah, maka perbincangan itu harus demi masa depan Sabah. Tetapi kalau semua memikirkan masa depan masing-masing, maka perbincangan itu akan jadi perbincangan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa di Sembulan, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung persediannya jika dicalonkan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi dalam PRU akan datang berikutan bahang pilihan raya semakin dirasai ketika ini.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Batu Sapi kosong sejak Oktober 2020 selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember 2020 sebagai tarikh mengundi.

Namun PRK tidak dapat diadakan berikutan pengisytiharan proklamasi darurat di kawasan itu untuk membendung penularan Covid-19.

Khairul Firdaus sebelum ini antara yang disebut-sebut sebagai calon bagi kerusi Parlimen Batu Sapi jika PRK diadakan ketika itu namun beliau dalam kenyataannya menolak khabar angin itu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi berkata, di peringkat bahagian mereka sentiasa bersedia dengan sebarang keadaan yang akan dihadapi.

“Setiap bahagian akan bersedia apa pun senario yang akan berlaku sebab itu kami bersyukur dua tahun lalu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) jadi persiapan itu sudah ada. Kami sudah ambil ujian lebih awal,” katanya.