Segera pulihkan imej, reputasi pengadil Liga-M

in Lidah Pengarang by

SEBELUM saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 bermula, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berikrar akan sedaya upaya memastikan kualiti pengadilan berada pada tahap terbaik tanpa ada sebarang kontroversi.

Malah, FAM menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil yang juga Naib Presidennya, Datuk S Sivasundram mahu memastikan sifar isu membabitkan pengadil atau pegawai perlawanan dalam saingan Liga-M musim ini.

Bagaimanapun, hajat besar FAM itu nampaknya tidak menjadi kenyataan. Baru sahaja Liga-M membuka tirai, sudah ada kontroversi akibat kesilapan keputusan pengadil dalam beberapa perlawanan Liga-M.

Dua aksi Liga Super iaitu pertemuan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman serta aksi Sri Pahang FC dan PJ City FC di Stadium Darul Makmur menjadi bukti sahih pengadil membuat kesilapan.

Malah, FAM sendiri telah mengakui kesilapan dilakukan pengadil selepas menerima laporan daripada Penilai Pengadil. Akibatnya, pegawai perlawanan terlibat bakal dikenakan hukuman daripada FAM.

Dua situasi dalam tempoh kurang seminggu itu mengundang perdebatan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan. Sudah tentu masing-masing mempunyai pandangan mereka dek kesilapan pengadil di tengah padang.

Timbul kembali cadangan agar FAM segera melaksanakan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR). FAM turut digesa segera melaksanakan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) setelah ia dilancarkan pada Mac 2020.

Jika mengambil kira situasi semasa, pelaksanaan MProRS dilihat lebih realistik berbanding penggunaan VAR. Atas faktor kos yang tinggi, penggunaan VAR dalam saingan Liga-M hampir mustahil direalisasikan dalam masa terdekat.

FAM tidak boleh berlengah lagi dalam melaksanakan MProRS, antara inisiatif yang dicanang-canang badan induk bola sepak negara itu dalam meningkatkan kualiti mutu pengadilan di negara ini.

Umpama bola sudah berada di kaki, kini terpulang kepada FAM bagi memperbaiki imej dan reputasi si baju hitam di sebalik kontroversi yang seakan-akan tiada kesudahannya.