Covid-19: 16 kematian baharu, lapan BID

in Khas by

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 16 kematian baharu akibat Covid-19 termasuk lapan daripadanya membabitkan kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) setakat tengah malam Rabu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian berpunca daripada pandemik itu kini seramai 35,465 orang.

Menurut data KKM di portal CovidNow, daripada jumlah itu keseluruhan kematian BID yang dicatatkan seramai 7,505 orang.

Sementara itu, kes jangkitan baharu yang direkodkan adalah 6,968 kes menjadikan jumlah kes aktif setakat ini seramai 90,724 orang.

Daripada jumlah itu juga, 88,489 individu atau 97.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah dan seramai 183 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sejumlah 1,955 atau 2.2 peratus lagi dirawat di hospital dengan 67 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU melibatkan 34 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 63 pesakit pula memerlukan mesin ventilator.