Kerajaan umum kuota haji hari ini

in Nasional by

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mengumumkan kuota haji bagi Malaysia pada hari ini yang baru diperoleh oleh Lembaga Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan pengumuman berkenaan akan dibuat jam 2.30 petang di Facebooknya.

“Insya-ALLAH pada hari ini saya akan umumkan kuota haji yang baru sahaja diperoleh oleh pihak Lembaga Tabung Haji. Nantikan pengumuman yang saya akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya pada Khamis.

Dalam pada masa yang sama beliau turut mengingatkan umat Islam untuk terus meningkatkan ibadat kerana Ramadan kini berada di fasa akhir.

“Tinggal lagi 10 hari pecutan Ramadan yang bakal meninggalkan kita. Pecutan yang menjanjikan rahmat dan berkat yang terlalu besar di mana di dalamnya ada malam Lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

“Kejarlah peluang ini, dan berdoalah ALLAH terima semua amalan kita sepanjang Ramadan pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, isu yang berlaku di bumi Gaza, Palestin juga perlu diambil tahu kerana saudara sesama Islam sedang dibedil dalam bulan mulia.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk terus berdoa dalam bulan yang mulia demi keselamatan dan keteguhan saudara kita di sana!

“Seperti yang telah diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya semua masjid dan surau mengadakan bacaan Qunut Nazilah.

“Saya menyeru sekali lagi untuk kita membacakannya pada rakaat akhir witir dan tarawih, agar ALLAH melihat solidariti kita terhadap bumi Gaza dan Masjidil Aqsa yang menjadi tempat ketiga yang dimuliakan dalam agama Islam selepas Masjidil Haram Makkah dan bumi Madinah,” katanya.