Ketua MCA Pontian sedia terima tindakan tatatertib

in Politik by

JOHOR BAHRU – Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong menyatakan dirinya bersedia untuk menerima apa jua tindakan yang akan dikenakan susulan menerima arahan untuk menghadiri siasatan tatatertib parti esok.

Bekas Exco Pelancongan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor itu turut memaklumkan dirinya percaya arahan menghadiri siasatan itu adalah berkaitan sidang media dilakukannya pada 25 Februari lalu.

Katanya, kesediaan diambil pihaknya itu juga berikutan khabar angin yang mendakwa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, parti akan mengambil tindakan terhadap dirinya dipercayai atas kesalahan tidak mematuhi arahan pimpinan parti semasa kempen pilihan raya.

“Saya berasa amat sedih dan terkejut apabila menerima surat Jawatankuasa Tatatertib MCA yang meminta saya menghadiri siasatan tatatertib esok secara dalam talian. Perbicaraan ini berpunca daripada sidang media yang saya adakan pada 25 Februari.

“Sebenarnya dalam sidang media itu apa yang saya lakukan hanyalah memohon maaf kepada penyokong selepas saya tidak dinamakan sebagai calon PRN Johor. Oleh itu, saya tetap yakin saya tidak bersalah.

“Ini kerana walaupun saya tidak dapat menjadi calon dan bertanding dalam PRN Johor, saya tidak berputus asa dan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya bagi membantu calon-calon BN di Pontian,” katanya pada sidang media di Teluk Danga di sini, pada Khamis.

Dalam masa sama, Siew Kiong turut mempersoal Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong adakah pemimpin nombor satu parti itu turut mempunyai niat untuk memecatnya daripada parti selepas siasatan berkenaan.

“Rakyat memberi sokongan kepada kita untuk memilih pemimpin berani, boleh menyelesaikan masalah rakyat, bukannya pemimpin yang hanya pandai bercakap serta mengabaikan tanggungjawab. Kemungkinan presiden bukan anak Johor dan tidak faham budaya Bangsa Johor, maka wajar beliau tidak suka dengan cara saya.

“Adakah betul presiden berhasrat untuk membuang saya dari parti? Adakah presiden juga ingin melucutkan keahlian biasa saya yang kini merupakan satu-satunya hubungan saya dengan parti?” soalnya.

Beliau berkata, Ka Siong selaku presiden parti yang mempunyai kuasa mutlak seharusnya memberi tumpuan untuk mengukuhkan imej dan jentera parti daripada membazirkan masa memberi tekanan kepada rakan seperjuangan.

“Pencapaian MCA dalam PRN Johor hanyalah satu permulaan, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka tidak lama lagi.

“Presiden haruslah meningkatkan semangat ahli dan kepimpinan di peringkat akar umbi kerana lantikan calon-calon PRN Johor bukan daripada pemegang jawatan di peringkat bahagian telah mengecewakan ramai pihak,” katanya.