Kuih balung ayam pemanis mulut unik

in Khas by

PARIT BUNTAR – Makanan tradisional sering menjadi pilihan untuk berbuka puasa dan kuih balung ayam tidak ketinggalan sebagai sajian pemanis mulut setiap kali Ramadan.

Kuih tradisi masyarakat Banjar yang popular di daerah Kerian ini diusahakan seorang ibu tunggal, Shamsiah Hashim, 60, di bazar Ramadan Kuala Kurau di sini.

Menurutnya, seakan-akan kuih koci, balung ayam adalah antara juadah yang paling laris dijual sepanjang 20 tahun mengusahakan kuih-muih.

“Tepung pulut dibancuh bersama dengan air pandan menjadi doh manakala intinya dimasak menggunakan parutan kelapa muda, gula merah dan gula putih serta garam untuk seimbangkan rasa.

“Doh dicanai dan diletakkan isi pada bahagian tengah sebelum dilipat seperti karipap. Balung ayam dibentuk dengan menggunakan pembalut buah,” katanya.

Shamsiah berkata, kuih unik ini dikukus selama 10 hingga15 minit menggunakan api sederhana dan sudah masak apabila bertukar warna menjadi hijau tua.

“Setiap hari saya menyediakan 80 balung ayam bersama kuih lain seperti antah jawi, seri muka dan batil pisang untuk dijual di bazar,” katanya.

Ujarnya, balung ayam agak sukar diperoleh kerana tidak ramai yang membuatnya selain kuih berkenaan sering mendapat permintaan tinggi.

“Resipi ini merupakan warisan keluarga. Walaupun saya buat setiap hari, itu pun masih belum mencukupi kerana ada sahaja tempahan untuk kenduri atau bagi dibawa ke surau sebagai moreh.

“Kesukaran mendapatkan kuih ini menjadi inspirasi saya untuk terus menghasilkannya,” kata Shamsiah.