Masjid Kampung Laut dibuka kepada orang ramai Jun ini

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Masjid Kampung Laut, antara masjid tertua di Asia Tenggara yang dipindahkan dari Nilam Puri, Kota Bharu ke lokasi asal di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan dijangka dibuka kepada orang ramai Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata, proses pemasangan semula struktur masjid yang dianggarkan berusia 400 tahun itu siap dilakukan selepas ia dileraikan dan dipindahkan dari Nilam Puri pada September 2020.

Baidzawi berkata, pihaknya sedang mendapatkan sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada badan profesional dan Majlis Daerah Tumpat bagi memastikan masjid tersebut selamat dibuka kepada orang ramai.

“Pengunjung bukan sahaja dapat menunaikan solat tetapi juga membeli produk tempatan khususnya serondeng Kampung Laut, sekali gus menambah pendapatan penduduk setempat,” katanya baru-baru ini.

Masjid bersejarah itu dibina di tebing sungai di Kampung Laut pada abad ke-18 oleh pendakwah Islam yang datang ke negeri itu dan ia kerap dilanda banjir termasuk banjir besar pada 1926 dan 1966 sebelum dipindahkan ke Nilam Puri, kira-kira 20 kilometer dari tapak asal.

Keunikan Masjid Kampung Laut terletak pada keseluruhan binaan yang terdiri daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku selain kehalusan ukiran yang menjadi tarikan utama kepada pelancong, penyelidik dan pelajar seni bina.

Pemindahan semula ke Kampung Laut adalah sebahagian daripada projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai ‘Kampung Warisan’, selain dua kompleks komersial yang berhampiran iaitu Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding yang juga telah siap dibangunkan.

Mengulas lanjut, Baidzawi berkata, beberapa artifak asal Masjid Kampung Laut yang ditempatkan di masjid lain selepas banjir juga telah dikembalikan ke masjid itu, antaranya bedok dari Masjid Muhammadi, kolah dari Masjid Baru Kampung Laut dan mimbar yang dipercayai tertua di negara ini dari Masjid Lama Pasir Pekan.

Baidzawi yakin struktur Masjid Kampung Laut itu selamat sekiranya berlaku banjir pada masa akan datang kerana ia dibina di tempat yang lebih tinggi selain Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut membina tembok tebatan banjir di tebing sungai berkenaan.

Sementara itu, pengurus projek pemasangan semula struktur Masjid Kampung Laut Mazni Mahmod berkata proses melerai dan memasang semula struktur masjid dilakukan secara teliti dan berhati-hati mengikut panduan ditetapkan Jabatan Warisan Negara serta dipantau oleh konservator bertauliah.

“Dari segi seni bina luaran masjid ini nampak biasa, bangunan lama, tetapi apabila kita buka (lerai) kompenan asalnya, dapat dilihat kepakaran pertukangan orang dahulu kala yang memang sangat unik, dari segi tanggamnya dan tidak pakai paku.

“Projek ini sesuatu yang baharu yang mungkin tidak dipelajari di sekolah atau universiti, jadi konsep arkitek dahulu dikekalkan dan dipulihara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya sambil menambah hampir 100 individu termasuk beberapa tukang kayu Kelantan yang arif terlibat.

Mazni berkata, pihaknya turut menggunakan sistem ‘tagging’ supaya setiap kompenan kayu yang dileraikan dapat direkodkan sebelum dipasang semula.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kejayaan pemindahan Masjid Kampung Laut umpama sirih pulang ke gagang meskipun terdapat banyak cabaran untuk merealisasikan terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

Ahmad berkata, kerajaan negeri akan membantu agensi yang terlibat supaya Masjid Kampung Laut boleh diwartakan sebagai satu Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

“Masjid Kampung Laut merupakan satu masjid bersejarah yang tidak ternilai akan warisannya. Usaha (mewartakan) ini bukan sahaja mengangkat nilai sejarah tersebut bahkan bakal menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan tempatan,” katanya. – Bernama