Rundingan penjualan Perak FC berjalan lancar

in Sukan by

RUNDINGAN bagi penjualan Perak FC kepada JR Resources and Services Sdn Bhd (JR) berjalan lancar pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, dalam pertemuan malam semalam, resolusi daripada Impact Media and Communication (IMC) bagi penjualan Perak FC ditandatangani.

Menurutnya, pada masa sama semua ahli lembaga pengarah Perak FC juga telah menandatangani dokumen peletakan jawatan masing-masing.

“Pihak Pengurusan IMC telah bertemu dengan wakil daripada JR pada malam semalam untuk meneruskan urusan penjualan Perak FC. Bagaimanapun, JR hanya diwakili oleh peguam dan pembantu mereka, tanpa kehadiran pengarah syarikat tersebut.

“Oleh itu, kedua-dua pihak sepakat untuk bertemu pada minggu hadapan bagi melengkapkan proses menandatangani perjanjian pengambilalihan Perak FC,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Menurutnya, sementara menanti pertemuan tersebut, IMC sudah memohon untuk melanjutkan tempoh pembayaran tunggakan gaji daripada Malaysian Football League (MFL).

Muhammad Yunus berkata, keputusan permohonan tersebut dijangka akan dimaklumkan hari ini.

Pada 16 April lalu, IMC dalam satu kenyataan bersetuju untuk menjual Perak FC kepada JR sekaligus menjadi pemilik baharu pasukan.

Persetujuan itu menyaksikan IMC menjual keseluruhan pegangan mereka pada harga RM1 sesaham, memberikan subsidiari itu nilai keseluruhan berjumlah RM2,500.