Sukan SEA: Jaga kesihatan, jangan guna Covid-19 sebagai alasan

in Sukan by

ATLET atau pegawai yang menggalas cabaran negara pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei ini diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk menutup kegagalan membawa pulang pingat.

Sehubungan itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad mahu semua pihak terlibat memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan bagi mengurangkan risiko dijangkiti wabak tersebut.

Beliau turut berharap kem negara mampu mencapai sifar kes Covid-19 sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung, supaya barisan atlet dapat bertanding pada tahap prestasi terbaik, sekali gus membantu kontinjen negara mencapai kejayaan gemilang.

“Kalau nak jadi juga (dijangkiti Covid-19) kita tak boleh buat apa, tapi mereka kena segera pulih dan saya rasa bagi seorang ahli sukan itu tidak ada masalah.

“Sasaran 31 pingat emas juga tidak begitu menjadi masalah, kita berdoa tiada kes Covid-19 melibatkan atlet kita. Kalau semuanya lancar saya rasa pingat akan diraih satu demi satu,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan dan perjumpaan bersama skuad bola keranjang negara di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di sini pada Khamis.

Sementara itu, Nur Azmi berkata, pihaknya bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), merancang untuk membuka ‘hospital mini’ di Hanoi bagi menempatkan atlet yang dijangkiti Covid-19, dan memantau tahap kesihatan mereka.

Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi dibarisi seramai 883 orang terdiri daripada 604 atlet dan 279 pegawai, dengan sasaran awal ditetapkan adalah 79 pingat merangkumi 31 emas, 19 perak dan 29 gangsa.

Bagaimanapun, sasaran sebenar pingat dan pembawa bendera kontinjen negara akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan majlis penyerahan Jalur Gemilang dijangka diadakan pada minggu hadapan. – Bernama