Tentera Israel bom Gaza

in Global by

GAZA – Beberapa letupan kedengaran di tengah dan barat Gaza pada awal pagi Khamis akibat serangan yang dilakukan oleh tentera Israel.

Serangan itu menyasarkan Deir al-Balah di tengah Gaza dan Isa Batran di barat yang kemudiannya dilaporkan hampir sedozen peluru berpandu digunakan dalam serangan tersebut.

Beberapa serangan udara itu dilaporkan menggunakan pesawat tanpa juruterbang iaitu Hermes 900 UCAV dan jet pejuang F-15.

Serangan itu menyasarkan kedudukan yang digunakan oleh Briged Al-Qassam.

Menurut Quds News Network, kumpulan pejuang Palestin membalas serangan tersebut dengan menggunakan senjata-senjata antipesawat.

Bedilan meriam Tentera Israel juga dilaporkan berlaku di selatan Gaza dengan sasarannya ialah sebuah pusat pemeriksaan Hamas.

Berikutan serangan udara itu, dua roket dilancarkan ke arah Israel dari utara Gaza tetapi dipercayai gagal kerana tiada aktiviti merentasi sempadan di Israel dilaporkan setakat ini.

Serangan udara tentera Israel turut berlaku di Abu Jarad, Ubaidah dan Zeytoun.

Jurucakap Hamas Hazem Qassem memberitahu bahawa serangan udara Israel di Gaza hanya akan meningkatkan keazaman pwnduduk Palestin untuk meneruskan perjuangan dan penentangan terhadap pendudukan Israel. – Agensi