Ibu tunggal terima lebih 50 panggilan, mesej untuk dibantu

in Edisi by

MELAKA – Ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi menerima lebih 50 panggilan telefon dan puluhan mesej daripada pelbagai pihak selepas kisah hidupnya sebagai pengutip barangan terpakai bagi membesarkan empat anak dilaporkan Bernama baru-baru ini.

Umi Nur Faizah, 39, yang mesra dipanggil Umi berkata, panggilan telefon serta mesej berkenaan bertujuan untuk mereka menyalurkan bantuan dan sumbangan termasuk membelikan pakaian sempena sambutan Aidilfitri untuk beliau serta anaknya yang berusia tujuh hingga 15 tahun.

“Tidak sangka kehidupan saya dan anak-anak mendapat perhatian banyak pihak… terlalu banyak panggilan telefon dan mesej untuk membantu yang saya terima sampai tidak menang tangan menjawabnya.

“Saya anggap ini rezeki anak-anak dan sangat berterima kasih dengan keprihatinan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum yang datang ke rumah menyalurkan sumbangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah sewanya di Balai Panjang di sini, pada Jumaat.

Umi berkata, menerusi sumbangan kewangan yang diterima daripada pelbagai pihak, beliau bersyukur kerana dapat melangsaikan hutang piutangnya yang dibuat ketika mahu menyediakan keperluan sekolah terutama membeli buku dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun.

Katanya, sumbangan wang itu juga akan digunakan sebaiknya untuk keperluan harian termasuk persekolahan anak-anaknya pada masa akan datang.

Umi berkata, terdapat sumbangan yang terpaksa ditolak dengan baik seperti pembelian baju raya kerana tidak mahu berlaku pembaziran dan mahu ia disalurkan kepada golongan lain yang turut memerlukan.

“Ada beberapa pihak dah tetapkan tarikh untuk bawa anak-anak beli baju raya… saya minta maaf kalau ada sumbangan baju raya yang terpaksa saya tolak… bukan sombong tetapi alhamdulillah dengan rezeki yang ada ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Khas Perhubungan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Ghafar Misdar yang menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai daripada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk keluarga berkenaan.

Ghafar berkata, kisah kecekalan Umi membesarkan empat anaknya turut mendapat perhatian Sulaiman dan berharap ibu tunggal itu tidak berputus asa dengan kesempitan serta ujian yang dilalui.

“Setakat ini, kami semak keluarga Umi telah mendapat bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi meringankan bebannya.

“Kami juga akan berusaha mendapatkan bantuan bayaran sewa rumah sebanyak RM350 daripada MAIM selain bantuan persekolahan empat anaknya,” katanya.

17 April lepas, Bernama melaporkan Umi berdepan pelbagai reaksi negatif termasuk herdikan dan kata-kata kesat ketika mengutip barangan terpakai bagi membesarkan empat anaknya, namun ia tidak mematahkan semangat ibu tunggal itu. – Bernama