Jakim sebagai rujukan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah

in Nasional by

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wajar dijadikan pusat rujukan oleh kementerian dan agensi dalam melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni.

“Apa yang diharapkan ialah pendekatan Maqasid Syariah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan dijadikan panduan atau kerangka dalam membangunkan dasar-dasar baharu sambil memperkasa yang sedia ada,” katanya.

Menurutnya, sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh dalam menyusun atur segala langkah bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar ia dapat meresap ke dalam jiwa Keluarga Malaysia.

“Agama merupakan benteng pertahanan jiwa yang menjadi petunjuk dalam memelihara hubungan antara kaum dan saya berpandangan perbezaan agama bukanlah suatu halangan untuk bersatu-padu,” katanya

Beliau berkata, prinsip Maqasid Syariah menekankan perkara universal yang sesuai untuk seluruh rakyat.

“Ia tidak mengehadkan amalan dan kepercayaan agama lai, tetapi ia menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sekiranya dasar tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya dan kefahaman jelas diberikan kepada penjawat awam pada semua peringkat, seluruh rakyat dapat menjiwai kesejahteraan yang diimpikan.

“Hari ini, kita diperjelaskan tentang pendekatan Maqasid Syariah dalam tadbir urus Keluarga Malaysia.

“Dengan mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan, saya berharap setiap kementerian dan agensi dapat menzahirkan prinsip pemeliharaan maslahah dalam setiap dasar yang digubal,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Sesi Taklimat Umum dan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ismail Sabri berkata, buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera menekankan aspek tadbir urus yang holistik dan mampan berasaskan syariat Islam dalam memelihara hubungan Keluarga Malaysia.

“Ia juga memandu pembuat dasar untuk memperkukuh kesejahteraan Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan yang diberikan

“Saya juga menggalakkan pelaksanaannya di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN),” katanya.