Lebih 570,000 kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi Covid-19

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Sebanyak 572,744 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 16.1 peratus daripada populasi itu di negara ini telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat Khamis.

Berdasarkan laman web CovidNow, sebanyak 1,447,377 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 40.7 peratus, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,881,518 individu atau 92.6 peratus telah lengkap divaksin, manakala 2,982,044 atau 95.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Untuk populasi dewasa pula, seramai 15,998,406 individu atau 68 peratus telah menerima dos penggalak, 22,963,218 atau 97.6 peratus telah melengkapkan dos kedua, manakala 23,240,041 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 59,460 dos vaksin diberikan pada Khamis melibatkan 13,412 dos pertama, 39,883 dos kedua dan 6,165 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,872,350.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, lima kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada Khamis dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu tiga kes manakala Sabah dan Sarawak masing-masing mencatat satu kes. – Bernama