Selangor sedia program latihan, kemahiran bantu OKU berdikari

in Edisi by

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan menubuhkan ‘Independent Living Support Centre’ (ILSC) iaitu sebuah pusat yang menyediakan program latihan dan kemahiran bagi golongan orang kurang upaya (OKU) sasar.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak RM1 juta di bawah peruntukan tambahan akan disalurkan kepada Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, ILSC menyasarkan untuk melatih OKU berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai masalah pembelajaran.

“Latihan tersebut bagi membolehkan mereka dapat berdikari dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Anis yang berlangsung di Hotel Acapella pada Khamis.

Seramai 16 keluarga anak istimewa daripada 692 permohonan yang diluluskan pada tahun 2021 hadir bagi menerima bantuan peralatan.

Turut hadir, Ketua Jabatan Anis, Danial Al-Rashid Haron.

Dr Siti Mariah berkata, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan pada 2021 bagi pelaksanaan program Bantuan Khas Anis bertujuan membantu ibu bapa dan penjaga anak istimewa untuk menampung kos pendidikan, terapi, peralatan serta ubat-ubatan yang diperlukan oleh anak istimewa di Selangor.

“Kerajaan negeri akan meneruskan program Bantuan Khas Anis dan Didik Anis bagi tahun 2022 dengan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

“Permohonan dalam talian bagi kedua-dua program akan mula dibuka pada 17 sehingga 31 Mei 2022 menerusi laman sesawang www.anisselangor.com,” ujarnya.