SOP skuba di Mersing perlu kawalan lebih ketat: Sultan Johor

in Edisi by

JOHOR BAHRU – Prosedur operasi standard (SOP) bagi sebarang aktiviti selaman dan skuba di Mersing perlu dipantau dengan kawalan yang lebih ketat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, perkara itu adalah termasuk penyediaan SOP aktiviti selam dengan menitikberatkan beberapa perkara penting sebelum dikuatkuasakan.

“Penguatkuasaan SOP itu perlu memastikan perkara seperti lesen menyelam yang sah, rekod penyelenggaraan peralatan, rekod laporan terkini perubatan penyelam, insurans serta buku catatan rekod penyelam yang sentiasa dikemas kini,” titahnya.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Mohammed Shakib Ali di Istana Flinstones, Mersing pada Jumaat.

Pada pertemuan itu, Mohammad Shakib turut mempersembahkan kepada baginda mengenai SOP aktiviti selam skuba dan ‘Island Hopping’ di Mersing.

“Saya meneliti dan memperhalusi setiap SOP berkaitan aktiviti selam skuba yang disediakan Pejabat Daerah Mersing serta Majlis Daerah Mersing bersama beberapa jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

“Saya juga telah bertitah beberapa perkara penting berkaitan aktiviti selam skuba dan turut menitahkan kepada Pegawai Daerah Mersing supaya turut melibatkan sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Persatuan Selam Skuba Malaysia,” titahnya.

Sebelum ini, pada 6 April lalu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti selaman skuba di Pulau Tokong Sanggol, Mersing.

Operasi pencarian yang dilakukan pihak berkuasa selama empat hari selepas kejadian kemudiannya menemui tiga penyelam dalam keadaan selamat.

Selain itu, pencarian seorang lagi mangsa yang hilang kemudiannya ditamatkan pihak berkuasa kerana dipercayai mangsa telah dihanyutkan ke perairan luar negara.