Tan Sri Lim Hock San terima anugerah pencapaian sepanjang hayat usahawan cemerlang negara

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Lim Hock San menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Usahawan Cemerlang Negara daripada Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan penting Tan Sri Lim kepada negara, masyarakat dan komuniti perniagaan khususnya.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin pada majlis makan malam anugerah perniagaan khas yang diadakan di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, kelmarin.

Berikutan penerimaan Anugerah itu, Tan Sri Lim telah menyertai senarai penerima terdahulu yang terkenal termasuk Pengerusi Eksekutif Eastern & Oriental Bhd, Datuk Tee Eng Ho, Pengerusi Bukan Eksekutif Kerjaya Prospek Group Berhad, Tan Sri Danny Tan, Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Bhd dan Presiden/CEO UDA Holdings, Sr Mohd Salem Kailany.

Mengulas mengenai penerimaan anugerah itu, Tan Sri Lim berkata, beliau amat berbesar hati dan gembira menerima anugerah yang berprestij itu.

“Adalah bukan perkara yang mudah untuk melalui fasa pandemik yang amat mencabar selama dua tahun, namun dengan usaha dan komitmen seluruh warga kerja LBS, kami berjaya mengharunginya. Anugerah ini sebenarnya merupakan satu pengiktirafan kepada seluruh pasukan LBS di atas kerja keras dan dedikasi mereka, di mana ianya terbukti apabila LBS telah memperolehi pendapatan tertingginya pada tahun 2021.

“Saya tidak dapat melakukan semua ini tanpa mereka. Kami akan terus kekal fokus dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa LBS ke tahap yang lebih tinggi di samping konsisten untuk meningkatkan lagi nilai pemegang saham yang merupakan antara objektif utama kami.”katanya.