Tindakan tegas terhadap industri cemar Sungai Merbok

in Edisi by

ALOR SETAR – Tindakan lebih tegas perlu dilakukan terhadap industri dan pembangunan berdekatan sepanjang Sungai Merbok bagi memastikan pencemaran dapat dikawal sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali berkata, pihak berkuasa seharusnya memantau secara berterusan aktiviti yang dilakukan di sekitar Sungai Merbok dengan penguatkuasaan lebih ketat agar pencemaran yang berlarutan dapat dibendung.

Menurutnya, membimbangkan apabila terdapat pengusaha kolam ternakan menebang pokok bakau di sungai berkenaan yang dikategorikan antara terbaik di dunia selain memiliki pelbagai spesis bakau.

“Pihak berkuasa perlu tegas lakukan pemeriksaan dan pengawasan secara berkala terhadap sebarang aktiviti yang boleh cemarkan alam sekitar.

“Ini termasuk memantau pelepasan sisa buangan dari kilang berdekatan khususnya kawasan industri Semeling dan Sungai Lalang supaya tidak sewenangnya dilepaskan ke dalam sungai,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Hanif memaklumkan, kebanyakan sungai kecil dari beberapa kawasan antaranya Sungai Petani yang mengalir ke Sungai Merbok memburukkan lagi keadaan dengan membawa sisa pencemaran.

“Nelayan darat di kawasan itu sudah beberapa kali mengadu mengenai masalah terbabit dan kesannya hasil tangkapan mereka semakin merosot, ada ketikanya langsung tiada hasil diperolehi akibat pencemaran sungai.

“Saya pernah bangkitkan isu ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan Exco Alam Sekitar memaklumkan akan lakukan pengawasan di kawasan industri. Saya harap tindakan itu dibuat secara berterusan dan sentiasa pantau agar tiada pihak yang culas,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sekumpulan nelayan dan penternak ikan dalam sangkar di Sungai Merbok menyuarakan kegelisahan mereka apabila sumber pendapatan semakin terjejas akibat pencemaran yang semakin serius.

Pencemaran tersebut dipercayai berpunca daripada sisa buangan dari bandar Sungai Petani, sisa racun dari kawasan sawah padi, sisa buangan kilang getah serta sisa buangan dari kolam ternakan udang.

Nelayan terlibat telah berdepan dengan masalah tersebut sejak lebih 10 tahun lalu, yang menyebabkan ikan, udang dan ketam dalam sungai berkenaan semakin pupus.