Lebih 16 juta dewasa Malaysia terima dos penggalak vaksin Covid-19

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,003,461 individu atau 68 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat pada Jumaat.

Menurut laman web CovidNow, sejumlah 22,963,644 atau 97.6 peratus daripada golongan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka dan 23,240,584 atau 98.8 peratus pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,883,331 individu atau 92.7 peratus telah lengkap divaksin dan 2,983,700 atau 95.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, sebanyak 614,507 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 17.3 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) manakala 1,462,095 kanak-kanak atau 41.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 63,169 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 16,352 dos pertama, 42,039 dos kedua dan 4,778 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,938,295.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan Johor dan Melaka merekodkan jumlah tertinggi iaitu masing-masing tiga kes.

Pulau Pinang dan Selangor pula mencatatkan masing-masing dua kes manakala satu kes masing-masing dilapor di Sabah dan Sarawak. – Bernama