Isu pusat jagaan antara fokus jawatankuasa khas: Rina

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pelarasan pendaftaran pusat jagaan antara isu utama yang akan ditangani oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata prosedur dan syarat berlainan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) menimbulkan kesukaran pusat jagaan untuk memenuhi syarat itu malah setiap prosedur juga saling berkait dan bersangkutan antara tugas dan kuasa di setiap kementerian terlibat.

Rina berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan PBT bagi memastikan tatacara pendaftaran pusat jagaan dapat ditambah baik agar golongan rentan mendapat perlindungan sewajarnya.

“Kelulusan pusat jagaan bukanlah autoriti KPWKM semata-mata malah ia melibatkan pemeriksaan serta penilaian agensi teknikal yang lain seperti PBT, Jabatan Kesihatan dan bomba.

“Kesukaran mendapatkan lesen operasi akan menyebabkan banyak pusat jagaan tidak berdaftar wujud di negara ini demi memenuhi keperluan permintaan pelbagai pihak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata selain memastikan semua pusat jagaan adalah berdaftar, ia perlu diimbangi dengan kewajipan menjaga keselamatan penghuninya yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan seumpamanya.

“Kita juga tidak mahu berlaku situasi banyak pusat jagaan didaftarkan namun kualiti pengoperasian dan khidmat penjagaan yang berikan kepada golongan rentan tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) tetapkan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan melaksanakan ujian saringan kesihatan mental terhadap pengasuh dan petugas pusat jagaan juga akan diteliti oleh jawatankuasa khas itu bagi memastikan mereka memiliki tahap kesihatan mental yang baik serta tidak cenderung melakukan pengabaian, penderaan serta penganiayaan terhadap individu jagaan mereka.

Katanya KPWKM akan membentangkan memorandum kepada Jemaah Menteri bagi melaksanakan penubuhannya dengan segera selain perincian berkaitan jawatankuasa khas itu akan diumum dalam tempoh terdekat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan bagi melindungi kebajikan golongan itu khususnya kanak-kanak, OKU, wanita dan warga emas.

Jawatankuasa itu, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dianggotai KPWKM, KPKT, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antara lain akan memastikan semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. – Bernama