Peruntuk RM1 juta bina dewan berbumbung penjaja makanan

in Nasional by

TANJONG KARANG – Sebanyak RM1 juta diperuntukan untuk pembinaan dewan berbumbung bagi penjaja di Pekan Tanjong Karang di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pembinaan itu sudah diluluskan dan akan dibina dalam masa terdekat.

Menurutnya, pada ketika ini, semua penjaja yang menjual makanan dan minuman di tapak sedia ada itu perlu mendirikan khemah masing-masing bagi menjalankan perniagaan.

“Selepas ini kawasan penjaja makanan di Pekan Tanjong Karang ini akan dilengkapi dengan kemudahan dewan berbumbung yang lebih selesa dan berstruktur kekal.

“Peniaga juga tidak lagi perlu bersusah-payah memasang dan menutup khemah, sebaliknya terus datang memulakan perniagaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bubur Lambuk di Bazar Ramadan Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai pengagihan bubur lambuk, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada penduduk untuk berbuka puasa.

Katanya, pengedaran bubur lambuk setiap kali Ramadan itu diadakan secara tradisi sejak beliau menjadi ahli Parlimen lebih 20 tahun lalu.

“Pengedaran bubur lambuk ini diagihkan kepada penduduk sama ada di pasar atau di kampung tradisi,” ujarnya.