Elon Musk beli Twitter pada harga RM191.73 bilion

in Global by

NEW YORK – Syarikat Twitter pada Isnin mengumumkan ia menerima tawaran daripada individu paling kaya di dunia, Elon Musk untuk membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (RM191.73 bilion).

Musk yang juga pengasas bersama syarikat kenderaan elektrik Tesla dilaporkan mencapai perjanjian dengan Twitter bagi membelinya secara tunai.

Perbincangan bagi membeli aplikasi media sosial itu sudah bermula sejak minggu lalu.

Ini menyebabkan Twitter dengan Musk mengadakan perbincangan bagi membolehkan beliau membeli syarikat tersebut secara peribadi pada harga AS$54.20 (RM236.18) untuk setiap satu saham.

Saham Twitter naik 5.7 peratus pada Isnin untuk ditutup pada harga AS$51.70 (RM225.28) bagi setiap satu saham.

Media sosial itu mempunyai pengikut yang aktif iaitu seramai lebih 200 juta pengguna.

Musk yang juga pemilik syarikat aeroangkasa, SpaceX merupakan individu paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaannya ialah AS$273.6 bilion (RM1.19 trilion), menurut majalah Forbes.

Urusan penjualan Twitter itu dijangka dapat diselesaikan dalam tahun ini. – Agensi