Indonesia dijangka tarik balik larangan eksport minyak sawit

in Bisnes by

BANDUNG – Indonesia dijangka menarik balik larangan terhadap eksport minyak sawit dalam tempoh satu atau dua bulan, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

“Apabila Presiden Indonesia sudah berpuas hati (bahawa) minyak masak mencukupi untuk menampung keperluan orang ramai, larangan eksport akan ditarik balik,” kata bank pelaburan itu dalam nota pada Isnin.

Pada Jumaat lepas, Joko Widodo mengumumkan Indonesia akan melarang eksport minyak sawit mulai 28 April 2022 sehingga diberitahu kelak bagi memastikan keperluan domestik dipenuhi.

Menurut Maybank IB, masalah yang dijangka dihadapi oleh penanam dan kilang penapis adalah kapasiti penyimpanan yang tidak mencukupi sekiranya larangan eksport tidak ditarik balik dengan segera.

Kilang juga tidak boleh membeli buah tandan segar terutamanya daripada pekebun kecil.

Malah, minyak sawit mempunyai jangka hayat yang singkat setelah diproses menjadi minyak sawit mentah, tidak seperti bijian minyak yang boleh disimpan selama satu atau dua tahun tanpa kehilangan kualiti yang terlalu tinggi.

Maybank IB berkata, pada masa ini, terdapat reaksi spontan jangka pendek terhadap stok perladangan dengan kehadiran yang lebih besar di Indonesia, manakala penanam yang berpusat di Malaysia akan menjadi penerima utama.

Harga niaga hadapan di Bursa Malaysia Derivatives juga mungkin menyaksikan pembetulan yang ketara sebaik larangan eksport ditarik balik apabila minyak sawit Indonesia membanjiri pasaran global di tengah-tengah penuaian bermusim separuh kedua. – Bernama