Kelonggaran SOP diumum Rabu ini selamat, cermat: Khairy

in Nasional by

KAJANG – Kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang bakal diumumkan Rabu ini bersifat selamat dan cermat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu tersilap langkah dan mengelak usaha yang dilakukan untuk mengawal wabak Covid-19 selama ini disia-siakan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) telah bincang panjang lebar, kita akan bentangkan pada kabinet Rabu ini dan jika diluluskan kita akan umumkan nanti,” katanya selepas melancarkan Generational End Game Anti Rokok 18 (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini, pada Isnin.

Hadir sama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Md Jidin.

Sementara itu, Khairy berkata, setakat ini seramai 1,939 individu telah mendapatkan suntikan dos penggalak kedua.

Kebanyakan mereka mendapatkan dos tersebut secara jumpa terus, katanya.

Mengenai ibadah haji, Khairy berkata, KKM akan mengeluarkan protokol baharu susulan syarat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi ke atas jemaah haji tahun ini.

“Kita juga akan pastikan petugas kesihatan yang cukup untuk membantu para jemaah kita di sana. Kita akan sediakan garis panduan persiapan ke sana dalam masa terdekat,” katanya.

Malaysia mendapat kuota seramai 14,306 jemaah untuk mengerjakan haji daripada kerajaan Arab Saudi, tahun ini.

Antara syarat dikenakan jemaah yang dibenarkan berusia 65 tahun ke bawah dan telah lengkap vaksin Covid-19. – Bernama