Korban bot persiaran hilang di Jepun meningkat 11 orang

in Global by

TOKYO – Angka kematian akibat tragedi bot pelancong yang hilang hujung minggu lalu di utara Jepun meningkat kepada 11 orang selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun disahkan meninggal dunia pada Isnin, lapor Xinhua.

Pengawal Pantai dan Pasukan Pertahanan Diri (SDF) yang bertanggungjawab mencari mangsa hilang telah meluaskan kawasan pencarian, serta dibantu pesawat dan kapal.

Bot persiaran seberat 19 tan, Kazu One, membawa 26 penumpang itu dilaporkan hilang pada Sabtu di Semenanjung Shiretoko, Hokkaido dan membuat panggilan kecemasan ketika laut bergelora.

Talian komunikasi dengan bot terputus kira-kira jam 1.15 petang waktu tempatan.

Seramai tujuh lelaki dan tiga wanita disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya, dan dua kanak-kanak turut dijumpai.

Kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun, merupakan mangsa terbaharu dijumpai pada Ahad, di kawasan perairan kira-kira 14 kilometer di timur rumah api berhampiran Semenanjung Shiretoko, sebuah destinasi popular di timur laut Hokkaido.

Mayat kanak-kanak itu dipercayai hanyut dibawa angin dan air pasang. Ibu bapa kanak-kanak itu masih hilang.

Pengawal pantai dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan memaklumkan seramai 24 penumpang dan anak kapal semuanya dipercayai memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot itu, meskipun kanak-kanak itu tidak memakainya ketika dijumpai.

Sembilan daripada 10 mangsa yang disahkan maut ditemukan di dalam air atau di atas batu sekitar 10 kilometer dari lokasi bot itu membuat panggilan pertamanya.

Kawasan pencarian telah diperluaskan dan bot nelayan turut menyertai operasi tersebut, menurut laporan tempatan.

Memandangkan kemungkinan bot karam akibat laut bergelora, pasukan mencari turut menggunakan peralatan sonar bagi mengesan bot malang itu. – Bernama