Kota Setar, Kuala Muda, Kulim catat kemalangan maut tertinggi di Kedah

in Edisi by

ALOR SETAR – Tiga daerah di Kedah merupakan antara daerah mencatatkan kadar kematian tertinggi akibat kemalangan di negeri ini pada tahun lepas.

Exco Pengangkutan Kedah, Azman Nasrudin berkata, sebanyak 18,414 kemalangan jalan raya dengan jumlah kematian 406 kematian direkodkan di negeri ini pada 2021.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Kedah berkata, daripada jumlah itu, daerah yang mencatatkan kemalangan maut tertinggi ialah Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim.

“Daerah Kuala Muda antara tiga daerah merekodkan kes kematian tertinggi dengan 90 kes kematian, diikuti Kulim dengan 65 kes dan Kota Setar dengan 61 kes.

“Indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar untuk Kedah adalah sebanyak 2.76 peratus,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kedah di Lorong Che Det di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azman berkata, purata 68 peratus daripada kes kemalangan ini pula dipercayai akibat nahas jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Katanya, jumlah direkodkan menunjukkan satu indikatif bahawa kadar literasi keselamatan jalan raya dalam komuniti jalan raya masih membimbangkan dan usaha advokasi ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak.

“Sehubungan itu, kempen keselamatan jalan raya dipergiatkan semua pihak di Kedah yang berganding bahu bersama MKJR Kedah bagi mengingatkan pengguna kepada bahaya akan kelalaian ketika memandu,” katanya.

Tambah beliau, bilangan kenderaan masuk ke Kedah dijangka mencecah 1.4 juta tahun ini berikutan masyarakat sudah dua tahun tidak dapat beraya akibat Covid-19.

“Kita faham rakyat sudah dua tahun tidak boleh balik raya, namun pastikan memandu dalam keadaan berhemah dan berhati-hati untuk sampai ke rumah orang disayangi dengan selamat,” katanya.

Beliau mengingatkan pengguna yang ingin pulang bercuti bersempena Hari Raya Aidilfitri berehat dahulu sekiranya letih sebelum meneruskan pemanduan.

“Sekiranya pengguna melakukan konvoi untuk pulang, pastikan supaya tidak mengikuti kenderaan terlalu dekat dan memandu dalam jarak ditetapkan,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, JPJ Kedah akan memeriksa bas ekpres di negeri ini dalam usaha memastikan keselamatan pengangkutan awam itu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan dari aspek teknikal bas dan pemandu sendiri, malah akan melakukan penyamaran dengan meletakkan pegawaimya di dalam bas ekspres dari semasa ke semasa bagi mengesan sebarang kesalahan sepanjang perjalanan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, selain penguatkuasaan, tumpuan akan diberikan untuk memastikan kelancaran trafik bagi melancarkan dan keselesaan pengguna jalan raya yang pulang beraya.

Katanya, lebih 400 anggota bahagian trafik akan bertugas menjaga dan mengawal lalu lintas sepanjang Op Selamat 18 sempena Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini bagi memastikan kelancaran trafik itu.