Pelitup muka penting untuk elak jangkitan

in Lidah Pengarang by

SEBELUM pergi jauh, sengaja mahu diingatkan kembali fungsi pelitup muka. Ia bertujuan untuk melindungi saluran pernafasan daripada dimasuki virus Covid-19 melalui hidung dan mulut.

Namun, apabila terdapat ura-ura mengatakan pemakaiannya akan menjadi satu opsyen selepas Aidilfitri nanti, ramai pihak memberi reaksi yang pelbagai.

Namun di Singapura, Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Sepanyol dan Itali yang terlebih dulu bebas daripada memakai pelitup, lebih terbuka. Mereka okey sahaja.

Bagi sesetengah negara masih meletakkan syarat untuk memakai alat keselamatan itu di kawasan tertutup dan di dalam pengangkutan awam.

Di Malaysia, kita tidak tahu lagi apa ‘jenis’ kelonggaran lagi yang diberikan. Namun, sama ada ramai sedar atau tak, kita sudah memperoleh kebebasan untuk sembilan situasi untuk tidak mengenakan pelitup muka. Antaranya, ketika bersenam, makan dan berada di dalam kereta.

Apa yang dapat dikatakan, keputusan berani yang bakal dibuat kerajaan, barangkali sudah ditimbang-tara dan dinilai sebaik-baiknya.

Kalau diikutkan, dorongan kepada transisi itu mungkin dilaksanakan setelah mengambil kira keadaan negara yang kini berada dalam fasa endemik, selain penurunan kes positif secara konsisten sejak kebelakangan ini.

Bukan itu sahaja, hampir 90 peratus rakyat di negara ini sekurang-kurangnya sudah mendapat dua dos vaksin. Sementara, vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak juga semakin meningkat.

Apa yang diharapkan, sebarang keputusan yang dibuat tidak terburu-buru. Fikirkan juga impaknya kepada mereka yang berpenyakit kronik, warga emas dan beberapa elemen lain.

Berwaspadalah dengan subvarian baharu Omicron, XE yang lebih mudah berjangkit seperti yang dimaklumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Pada masa sama, berterusanlah menggalakkan orang ramai mendapatkan dos penggalak.

Jangan jadi seperti India, kelonggaran pemakaian pelitup muka ditarik balik selepas wujudnya gelombang jangkitan baharu yang membimbangkan.

Satu lagi, rakyat Malaysia sudah pun terbiasa menjadikan pelindung keselamatan itu sebagai norma baharu kehidupan.