Pendapatan Perak SADC melonjak kepada RM830 juta

in Bisnes by

PERBADANAN Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mencatatkan lonjakan pendapatan sebanyak RM830 juta pada tahun 2021 berbanding RM410.7 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peningkatan pendapatan itu didorong harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) yang tinggi daripada RM2,692 satu metrik tan kepada RM4,371 satu metrik tan.

Menurutnya, prestasi kewangan yang baik itu membolehkan Perak SADC mengembangkan lagi perniagaannya selain turut menyumbang kepada kerajaan negeri.

“Rizab dana perbadanan itu juga turut merekodkan peningkatan sebanyak 62.2 peratus iaitu daripada RM473 juta pada tahun 2020 kepada RM767 juta pada tahun 2021.

“Nilai aset bersih Perak SADC juga dilaporkan melonjak daripada RM1.781 bilion pada tahun 2020 kepada RM2.068 bilion sepanjang tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus,’’ katanya menerusi satu kenyataan akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perak SADC di Ibu Pejabat Perak SADC di sini pada Isnin.

Saarani yang juga Pengerusi Perak SADC berkata, dengan pencapaian kewangan memberangsangkan itu juga, Perak SADC dapat memainkan peranan signifikan membantu kerajaan negeri menjana semula ekonomi negeri dan rakyat dalam fasa endemik Covid-19.

Menurutnya, antara peranan tersebut termasuklah melaksanakan program pengupayaan kapasiti rakyat seperti pembangunan keusahawanan selain melaksanakan projek-projek pertanian berdaya maju.

Jelasnya, ia sekaligus menambahkan pulangan pendapatan kepada perbadanan tersebut selain disalurkan kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, pada tahun ini, Perak SADC telah memperuntukkan sejumlah RM30.7juta bagi sumbangan kepada rakyat dan alam sekitar.

“Bagi mengukuhkan inisiatif membantu rakyat, Perak SADC mewujudkan konsep #kongsirezeki sebagai platform menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada golongan asnaf melalui program tanggungjawab sosial iaitu Agihan Ladang Asnaf menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Sumbangan berjumlah RM90,000 disalurkan di dalam program ini dan bakal memberi manfaat kepada 300 penerima yang terdiri dalam kalangan golongan asnaf untuk menerima RM300 setiap seorang,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Perak SADC juga turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.42 juta sepanjang bulan Ramadan kepada penerima di beberapa daerah di negeri ini melibatkan sekolah, masjid, maahad tahfiz, penyediaan bubur lambuk serta program tadarus al-Quran.