World #QuranHour mampu naikkan imej Islam, pupuk budaya al-Quran

in Khas by

SHAH ALAM – Program World #QuranHour mampu menaikkan imej Islam, sekali gus memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada dari segi pembacaan, penghayatan dan amalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan, agar semua organisasi, masjid, surau dan individu meluangkan masa selama satu jam, bermula jam 12 tengah hari esok (Selasa) di lokasi masing-masing untuk berinteraksi dengan al-Quran khususnya surah Al-Sajdah yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

“Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua dapat berkumpul bersama-sama dalam program World #QuranHour kali ke-7 yang bertemakan #DuniaBersujud.

“Saya difahamkan World #QuranHour tahun ini telah memilih surah Al-Sajdah sebagai surah utama bagi mengajak orang ramai menghayati erti sebenar bersujud dengan penuh keyakinan kepada ALLAH SWT yang dapat membuang sifat ego atau sombong untuk berjaya di dunia dan akhirat.

“Surah tersebut turut menjadi panduan untuk perubahan kerangka minda dan penyatuan ummah melalui aspek ekonomi dan pendidikan, sekali gus memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian dengan bersujud kepada ALLAH SWT,” katanya dalam satu ucapan sempena Program World #QuranHour yang akan berlangsung pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berharap agar surah tersebut bukan sekadar dibaca, tetapi diamalkan dalam kehidupan kita.

“Semoga usaha baik mendekatkan masyarakat dengan al-Quran seperti yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinerginya ini akan dapat diteruskan sampai bila-bila dan dirahmati oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada WUIF kerana penganjuran World #QuranHour mampu memberi impak besar kepada segenap lapisan masyarakat khususnya umat Islam dalam meningkatkan kesedaran untuk mendampingi al-Quran.

Beliau juga merakamkan penghargaan, kepada rakan sinergi WUIF, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pusat Pelancongan Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Sinar Harian, TV AlHijrah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Majlis Permuafakatan Angkatan NGO-NGO Malaysia (MAPAM) di atas penganjuran World #QuranHour 2022.