Emery ramal saingan sukar

in Sukan by

PENGENDALI Villarreal, Unai Emery meramalkan skuad kendaliannya bakal menempuh saingan sukar apabila berdepan Liverpool pada aksi separuh akhir pertama, Liga Juara-Juara di Anfield Khamis ini.

Menurutnya, walaupun aksi separuh akhir berkenaan bukanlah pertemuan kali pertama kedua-dua pasukan, namun ia sering menjanjikan saingan yang sengit.

“Setiap kali bertemu dengan Liverpool, kita akan berdepan tentangan yang cukup sengit.

“Selain itu saya juga mengenali pengendalinya, Jurgen Klopp dan ini bukannya kali pertama kami bertemu kerana kami telah bertemu sebelum ini ketika Klopp mengemudi Borussia Dortmund.

“Kami juga bertemu di Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika saya mengemudi Arsenal, tetapi kami meninggalkan Anfield dengan kekalahan yang menyakitkan.

“Kini kami akan bertemu lagi, tetapi kali ini di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara,” katanya.

Untuk rekod, Villareal mara ke separuh akhir setelah muncul naib juara Kumpulan FC selain menewaskan Juventus pada pusingan 16 sebelum menyingkirkan Bayern Munich pada saingan suku akhir.

Sementara itu, Emery tanpa berselindung mengakui mengagumi Klopp sebagai seorang jurulatih yang berjaya.

Katanya, Klopp juga merupakan individu yang hebat, pintar dan mampu membawa kejayaan kepada skuad kendaliannya.

“Bagi saya, dia bukan sahaja seorang jurulatih yang baik, tetapi juga pintar dan kini dia turut menjadi jurulatih untuk sebuah pasukan yang hebat (Liverpool).

“Oleh itu, saya menyifatkan situasi berkenaan sebagai sesuatu yang cukup sepadan,” katanya.