FAM tinjau potensi jalin kerjasama dengan Juventus

in Sukan by

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Isnin, menerima kunjungan hormat daripada wakil Juventus FC yang sedang meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bagi memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia.

Delegasi Juventus FC diwakili Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung.

Hamidin berkata, menerusi perbincangan awal, pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 tahun kebangsaan akan diberi peluang untuk menjalani latihan di akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.

“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.

“Mereka juga mahu delegasi FAM membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Hamidin selepas menerima kunjungan hormat itu.

Sementara itu beliau berkata, menerusi perbincangan awal ini juga pihak Juventus FC turut meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya.