Kesinambungan rancangan My #QuranTime

in Khas by

KUALA LUMPUR – Program World #QuranHour merupakan kesinambungan rancangan harian My #QuranTime yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, kewujudan rancangan bacaan al-Quran yang bersiaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu diilhamkan daripada keadaan semasa ketika itu.

“Sejarah My #QuranTime bermula setelah melihat keresahan orang ramai terhadap keadaan semasa (penularan Covid-19) dan cara yang terbaik mengatasi keadaan itu adalah dengan memartabatkan al-Quran.

“Kita menghasilkan program tersebut setiap hari dengan bertaddabur dan beriman dengan al-Quran bersama-sama secara perlahan-lahan.

“Kaedah untuk memahami al-Quran adalah dengan cara tertib dan teratur agar pemahaman terhadapnya jelas selain dapat disampaikan dengan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

Program World #QuranHour disiarkan secara langsung di TV Alhijrah dan semua platform digital Sinar Harian pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli hadir ke program berkenaan bagi menyertai bacaan Surah Al-Sajdah.

Dalam pada itu Namanzee menjelaskan, konsep program My #QuranTime turut diterapkan pada program tahunan World #QuranHour dengan melibatkan enam qari yang membaca surah Al-Sajdah bersama tiga pentaddabur.

“Bacaan dan taddabur surah Al-Sajdah yang disampaikan hari ini disifatkan sebagai bacaan al-Quran yang bukan sekadar bacaan, tetapi memahami isi kandungannya supaya umat Islam dapat mempelajari sesuatu daripadanya,” ujarnya.