Media banyak bantu KPWKM santuni golongan memerlukan: Rina

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Media memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pengamal media merupakan rakan strategik kementerian yang paling penting dalam menyalurkan aktiviti, dasar serta polisi kementerian kepada rakyat.

“Rakan media merupakan rakan strategik jangka panjang kementerian kerana kalau bukan disebabkan mereka, segala aktiviti, dasar dan polisi yang dijalankan kementerian tidak diketahui rakyat dan tidak sampai kepada mereka.

“Tugas dan tanggungjawab yang dimainkan media banyak membantu pihak kementerian semasa pandemik terutama dalam mendapatkan berita dan untuk melihat supaya tiada antara rakyat yang tercicir dan memastikan mereka yang memerlukan bantuan perlu kita santuni,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Jalinan Mesra Menteri KPWKM bersama lebih 100 pengamal media di sini pada Selasa.

Rina juga berharap silaturahim yang terjalin antara kementerian dan pengamal media akan terus berkekalan demi memastikan maklumat yang tepat dapat terus disalurkan kepada rakyat.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media yang sentiasa memberi sokongan, dorongan dan kritikan yang membina sepanjang beliau menerajui KPWKM. – Bernama