Peserta khatam al-Quran sertai World #QuranHour

in Khas by

SHAH ALAM – Program World #QuranHour mendapat sokongan dan penyertaan lebih daripada 100 orang di Masjid Mu’adz Bin Jabal, Setiawangsa pada tahun ini.

Pengerusi Biro Dakwah dan Pendidikan Masjid Mu’adz Bin Jabal, Datuk Azli Halim berkata, program tersebut dilakukan secara serentak dengan Program Khatam Quran Perdana yang akan berlangsung selepas World #QuranHour.

“Ini merupakan kali ketiga Program Khatam Quran ini diadakan sempena dengan World #QuranHour.

“Tahun ini kita ada lebih kurang 100 orang peserta untuk khatam al-Quran yang terdiri daripada golongan dewasa dan remaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azli berkata, barisan qariah turut menyokong program World #QuranHour yang berlangsung pada jam 12 tengah hari.

Majlis tersebut dimulakan dengan aktiviti tadabbur al-Quran pada jam 11 tengah hari yang dipimpin oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Lukman Ibrahim sebagai pentadabbur.

Sementara itu, seramai 150 kakitangan Prolintas memberi sokongan dengan menyertai program World #QuranHour pada Selasa.

Jumlah tersebut merangkumi kakitangan daripada anak syarikat Prolintas termasuk dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA).

Pembacaan Surah Al-Sajdah oleh kakitangan Prolintas itu dilakukan secara dalam talian di pejabat masing-masing.