RISDA sasar jualan 1,000 ekor lembu korban

in Bisnes by

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui anak syarikat RISDA Livestock Sdn. Bhd. (RLSB) mensasarkan jualan sebanyak 1,000 ekor lembu korban pada perayaan Aidiladha tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, jumlah tersebut bersamaan nilai pendapatan sebanyak RM6 juta.

Menurut beliau, ia merupakan hasil daripada usaha kerjasama bersama Koperasi Pos Nasional Berhad, Protaz International Sdn Bhd dan Mamu Livestock Sdn Bhd.

“Sebanyak 1,000 ekor lembu akan dikorbankan bagi memenuhi permintaan daripada peserta ibadah korban bersama RLSB.

“Pembekalan lembu untuk tujuan ibadah korban akan diperolehi daripada 40 usahawan ruminan, 10 ladang integrasi dan tiga ladang fidlot milik RLSB berkapasiti 12,000 ekor di empat negeri seluruh Malaysia,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Memeterai Perjanjian Ejen Jualan Qurban Livestock Sdn Bhd di Ibu Pejabat RISDA.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA, Sopian Abu Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad.

Turut sama, Pengerusi Koperasi Pos Nasional Berhad, Mohd Azham Abd Jabar; Pengarah Syarikat Protas International Sdn Bhd, Uwais Al Qorny Ab Latiff dan Ketua Pegawai Eksekutif Mamu Livestock Trading Business, Muhamad Raziz Rahim.

Mengulas lanjut, menurutnya, melalui hab pemprosesan Daging di Semenyih, RLSB kini mempunyai kemampuan pemasaran iaitu penawaran jualan bahagian lembu korban yang siap diproses dan dipek secara halal serta suci terus kepada pelanggan.

Tambah beliau, RLSB akan mengadakan kerjasama antara organisasi atau syarikat yang berpengalaman dalam pemasaran produk korban bagi memacu peningkatan jualan lembu RLSB sempena perayaan Aidiladha.

“Individu yang melaksanakan ibadah korban melalui RISDA Livestock Sdn Bhd hanya perlu membuat pesanan melalui ejen-ejen yang dilantik.

“Pihak RISDA Livestock Sdn Bhd akan menguruskan proses pemilihan, penyembelihan dan pemprosesan lembu korban.

“Daging korban akan diuruskan secara terhormat dan dipek vakum sebelum diserahkan kepada peserta dalam bentuk karton,” ujarnya.

Jelas Mohd Salim, tahun ini juga buat kali pertama peserta boleh mewakilkan kepada RLSB untuk mengedarkan daging korban tersebut terus kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.

Tambahnya, semua proses itu dilaksanakan dengan mementingkan aspek kesucian dan kebersihan di samping mematuhi langkah-langkah keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Usaha ini adalah bagi mendukung aspirasi RISDA dan Kerajaan Malaysia dalam memerdekakan sumber bekalan daging negara,” katanya.

Menurut beliau, bagi tempoh 2022 hingga 2030, RLSB mensasarkan peningkatan pengeluaran daging negara daripada kadar tujuh peratus kepada 30 peratus.

Dalam masa sama, katanya, integrasi fidlot yang dilaksana itu membantu ke arah meningkatkan keluaran daging tempatan berstatus halal.

“Ini selaras dengan dasar sekuriti makanan negara kini telah mengorak langkah menghasilkan daging halal melalui hab pemprosesan daging di Semenyih,” ujarnya.

RISDA dijangka dapat memberikan bekalan daging bermutu yang berterusan berdasarkan jumlah lembu integrasi sebanyak 6,000 ekor setahun.

Jelasnya, ia akan ditingkatkan kepada 10,000 ekor setahun.