RISDA sedia sumbangan RM203,850 sepanjang Ramadan untuk ansaf, imam

in Nasional by

Wajah-wajah terharu dan ceria jelas terpamer, menandakan rasa syukur mereka menerima sumbangan sebagai persediaan menjelang Aidilfitri.

Suasana itu mewarnai tiga lokasi pemberian sumbangan di Jempol, Negeri Sembilan iaitu di Pusat Tahfiz Ibnu Sharif, Jeram Panjang; Dewan D’Zahra, Batu Kikir dan Dewan Felda Jaya Selatan, Felda Raja Alias.

Seramai 1,230 asnaf dan 129 imam menerima sumbangan menerusi ‘Program Rahmat Ramadhan bagi Tahun 2022’ yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui Yayasan RISDA dengan kerjasama Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol (YPKJ).

Program itu merupakan aktiviti khidmat sosial dan kemasyarakatan RISDA di bawah agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) RISDA yang bertujuan menyediakan dana bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Secara keseluruhan, sebanyak RM203,850 disalurkan sepanjang Ramadan tahun ini dan sumbangan bernilai RM150 termasuk barangan keperluan diberikan kepada setiap penerima dalam tiga sesi program yang dianjurkan.

Secara keseluruhan sumbangan dan bantuan yang diperuntukkan dalam program itu melibatkan sebanyak RM19,350 kepada imam masjid dan RM184,500 kepada golongan asnaf.

“Sumbangan yang diberi tidak seberapa namun diharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” kata Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Beliau ditemui Sinar Harian selepas Program Rahmat Ramadhan 2022 di Dewan Feldajaya Raja Alias, Bandar Baru Serting di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Naggor dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda prihatin RISDA kepada golongan memerlukan.

“Dua tahun kita tidak dapat beraya kerana Covid-19 dan pastinya kemeriahan menyambut Syawal kali ini lebih terserlah. Diharapkan sumbangan kecil ini dapat memberi keceriaan kepada penerima,” ujarnya.

Penerima, Zainab Yusof, 75, akui bersyukur dengan sumbangan diberi dan akan digunakan untuk membeli barangan keperluan.

Bagi Rahman Yaakop, 71, pula, sumbangan wang tunai diterima akan digunakan untuk menghadiahkan duit raya kepada cucu-cucunya tahun ini.

“Terima kasih kepada RISDA atas sumbangan diberi dan ia menunjukkan keprihatinan pemimpin terhadap golongan memerlukan.

“Dengan duit diterima ini bolehlah saya ‘menyantuni’ cucu-cucu saya nanti memandangkan sudah dua tahun kita tak dapat beraya seperti biasa,” katanya.