Sisa pepejal di Pahang meningkat 4.1 peratus pada bulan Ramadan

in Khas by

KUANTAN – Buangan sampah dan sisa pepejal isi rumah di Pahang meningkat sebanyak 4.1 peratus sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, peningkatan penerimaan sisa pepejal itu sudah dijangka susulan pelbagai kelonggaran terhadap aktiviti perniagaan diberikan oleh kerajaan.

“SWCorp membuat kajian komposisi sisa pepejal ke atas 11 tapak pelupusan sampah di Pahang. Pada bulan Ramadan ini, purata sisa pepejal 825.24 tan sehari berbanding 791.6 tan sahaja pada bulan biasa.

“Peningkatan jumlah ini (sisa pepejal) disumbang oleh aktiviti perniagaan seperti bazar Ramadan dan penawaran bufet berbuka puasa oleh hotel selain sampah dari kediaman,” katanya di pejabat SWCorp Pahang, pada Selasa.

Sharudin menjangkakan jumlah sisa pepejal terus meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus menjelang sambutan Aidilfitri.

Katanya, justeru pihak SWCorp dan Alam Flora sudah bersedia untuk menghadapi situasi tersebut.

“Cuma kami minta kerjasama orang ramai supaya mengikat plastik sampah dengan elok supaya tidak bertaburan akibat dikacau haiwan liar,” katanya.