Sukan SEA: 31 emas sasaran selamat

in Sukan by

TIDAK keterlaluan jika dikatakan sasaran 31 pingat emas yang diletakkan buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 boleh dianggap sebagai satu sasaran selamat.

Pemerhati sukan negara, Dr Pekan Ramli berkata, sasaran awal tersebut seharusnya diletakkan lebih tinggi dalam usaha mencabar atlet negara menghadirkan kejayaan lebih gemilang pada temasya edisi ke-31 itu.

“Kita hantar kontinjen yang besar, tetapi tetapkan sasaran 31 pingat emas? Saya lihat tak mencabarlah… tak challenging langsung kerana kita telah berbelanja besar.

“Lagipun, apa sebenarnya yang kita nak jelaskan kepada orang ramai terutamanya peminat sukan Malaysia. Adakah sasaran 31 pingat emas ini kelihatan relevan?

“Kalau tak capai sasaran 31 emas pula macam mana? Sebenarnya kalau tak capai sasaran pun, tak ada (pihak) yang kena hentam,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pekan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini yang memaklumkan 31 pingat emas itu adalah sasaran realistik dan munasabah.

Pada Sukan SEA Hanoi 2021 yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei, Malaysia menghantar kontinjen dengan jumlah keseluruhan 864 orang, terdiri daripada 589 atlet dan 217 pegawai.

Kontinjen Malaysia bakal mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan daripada keseluruhan 40 yang dipertandingkan melibatkan 338 acara daripada keseluruhan 526 acara.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) perlu menetapkan sasaran pingat khususnya emas yang benar-benar memberikan cabaran kepada barisan atlet negara.

“Kita sebenarnya tak perlu takut untuk meletakkan sasaran. Kalau boleh, sasaran itu dapat membuatkan kesemua ahli kontinjen Malaysia rasa tercabar untuk memburu emas.

“Sebaik-baiknya kita letak penanda aras lebih tinggi supaya kesemua ahli kontinjen Malaysia termasuk jurulatih dan pegawai pasukan kerja all out melebihi sasaran emas yang ditetapkan,” jelasnya.

Pada masa sama, Pekan berkata, setiap atlet yang bertanding harus ada keinginan tinggi untuk memburu kejayaan di sebalik sebarang ujian yang mendatang.

“Takkanlah setiap kali kejohanan kita letak sasaran yang complesent. Kalau begitu sampai bila-bila pun hasrat untuk mencipta lebih banyak kejayaan tidak akan tercapai,” ujarnya.