TMC LLM jadi pusat utama salur maklumat terkini trafik

in Nasional by

DENGKIL – Pusat Pengurusan Trafik (TMC) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan 25 pusat kawalan trafik lebuh raya bertol akan menjadi pusat utama penyaluran maklumat trafik dan pertanyaan pengguna pada musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, TMC LLM sentiasa bersedia memantau perjalanan di lebuh raya serta memberikan informasi trafik yang tepat dan terkini.

“TMC LLM dan syarikat konsesi lebuh raya akan beroperasi 24 jam sehari bermula 29 April ini hingga 9 Mei. Pengguna disaran menghubungi TMC di talian hotline 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat situasi terkini lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuh Raya sempena Aidilfitri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini pada Selasa.

Turut hadir, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Fadillah pada masa sama menyarankan pengguna khususnya Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 (Karak-Jabor) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (Chenor-Kuala Terengganu) mengguna pakai Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi merancang perjalanan balik kampung dan kembali semula ke kota.

Beliau berkata, TTA disediakan syarikat konsesi sebagai saranan waktu yang sesuai kepada pengguna berdasarkan unjuran trend trafik dan tempoh perjalanan dari sesuatu destinasi.

Fadillah turut menasihatkan pengguna supaya mempunyai baki kad Touch ‘n Go atau e-wallet dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) mencukupi bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Beliau berkata, syarikat konsesi juga telah diarahkan melaksanakan inisiatif antaranya menambah bilangan pasukan petugas operasi dan penyenggaraan lebuh raya, kekerapan rondaan oleh pasukan ronda serta penyediaan pasukan bantuan kecemasan dan agensi penguat kuasa terdiri daripada Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. – Bernama