World #QuranHour diadakan serentak di 20,000 lokasi

in Khas by

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20,000 lokasi berdaftar World #QuranHour diadakan secara serentak dalam Malaysia pada Selasa bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, bagi luar negara penganjurannya dijalankan menerusi 14 lokasi di 14 negara.

“Di luar negara kita bekerjasama dengan kedutaan. Selain daripada itu, yang sudah biasa ikut, orang di sana yang akan menyusun program World #QuranHour ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah pada Selasa.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2022 yang berlangsung di Studio TV Alhijrah pada Selasa.

Pada tahun lalu, World #QuranHour yang diadakan secara hibrid mencatatkan 485 bilion capaian di media sosial, 2,700 lokasi berdaftar dalam negara dan 42 lokasi luar negara.

World #QuranHour pada Selasa dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 7 dibimbing oleh qari, Mohamad Husaini Mahmur.

Kemudiannya, ia diikuti sesi bacaan 30 ayat surah Al-Sajdah secara bergilir oleh qari, Dr Anuar Hasin, Abdul Khair Jalil, Ahmad Tirmizi Ali, Amirahman Abas dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Sesi tadabbur pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, sejak penganjuran World #QuranHour ini, pihaknya mendapati pembukaan Rumah Ngaji juga semakin bertambah.

Menurutnya, dianggarkan jumlah Rumah Ngaji kini adalah 1,000 manakala Quran Corner pula 6,000.

“Kalau awal-awal dahulu mungkin dalam 10 Rumah Ngaji. Tetapi bila kita mulakan World #QuranHour, setiap negeri sudah mempunyai wakil negeri untuk Rumah Ngaji,” katanya.

Selain daripada itu tambahnya, disebabkan World #QuranHour ini memfokuskan agensi-agensi dan organisasi, mereka turut boleh mengambil nilai al-Quran untuk dijadikan panduan.