Kawal isu penipuan pakej haji

in Wacana by

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memperketat kawalan bagi mengekang penipuan berkaitan pakej haji yang ditawarkan oleh agensi pelancongan yang tidak mendapat Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K C Ahmmu berkata, hal melibatkan pengelolaan jemaah haji hendaklah melalui TH dan syarikat yang dilesenkan oleh lembaga itu.

“Jadi di sinilah perkara yang perlu dilihat kembali oleh kerajaan bagaimana tahap kawalan yang perlu dibuat, bagaimana nak menguatkuasakan AktaTabung Haji 1995 yang telah digubal di Parlimen.

“Ini kerana akta tersebut adalah untuk kepentingan awam. Jadi, kerajaan perlu tengok perkara ini, segala isu pengelolaan haji hendaklah melalui TH dan syarikat yang dilesenkan oleh lembaga tersebut.

“Dengan itu, akan ada kawalan dan tidak ada isu penipuan sebab kalau tengok pada sejarah, selama pihak TH melesenkan syarikat ini, tidak ada isu penipuan yang berlaku. Yang berlaku hanya di luar, iaitu syarikat yang tidak dilesenkan oleh TH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-341 yang bertajuk ‘Kos Haji Meningkat, Masih Ada Subsidi’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Harun berkata, kerajaan telah menyediakan mekanisme untuk menjaga kepentingan awam melalui Akta Tabung Haji 1995 yang hanya membenarkan syarikat pelancongan yang diberikan lesen PJH untuk mengelola jemaah haji.

“Kita diberi syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi. Memang peraturannya begitu ketat, tetapi kita perlu ingat bahawa ia adalah untuk mensejahterakan kepentingan awam.

“Mekanisme kita memang dah hebat dan bagus. Tetapi masih ada pihak yang tidak mendapat lesen daripada TH cuba melaluinya dan cuba mengelola haji.

“Jadi saya berharap kerajaan perlu melihat perkara ini kerana apabila sebut ibadah haji, setiap umat Islam ingin pergi menunaikan fardu tersebut.

“Apatah lagi dengan keadaan kuota yang terhad sekarang. Yang nak pergi ramai, tiba-tiba ada pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pelbagai pakej seperti menjanjikan visa, tetapi akhirnya ramai yang tidak dapat pergi dan duit yang dibayar hilang,” jelas beliau.