Semua pihak perlu main peranan dalam konservasi Tapir Malaya

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyeru semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan dalam konservasi Tapir Malaya bersempena sambutan Hari Tapir Sedunia 2022 pada Rabu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi perutusan bertulis sempena sambutan pada Rabu berkata, peranan yang boleh dimainkan termasuk menjaga habitat haiwan berkenaan dan memperlahankan kenderaan masing-masing apabila melalui kawasan yang mempunyai papan tanda hidupan liar melintas.

“Tapir Malaya merupakan salah satu spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Tapir Malaya merupakan spesies yang terancam dalam senarai IUCN Red List of Threatened Species dan Redlist of Mammals for Peninsular Malaysia 2017.

“Malaysia bertuah kerana mempunyai spesies Tapir Malaya yang merupakan spesies tapir terbesar di dunia. Marilah kita melindungi khazanah negara kita yang tidak ternilai ini untuk diwariskan kepada generasi masa depan,” katanya.

Hari Tapir Sedunia atau ‘World Tapir Day’ disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan konservasi spesies tapir dan habitatnya.

Tapir Malaya berbeza dengan spesies tapir lain di dunia kerana ia merupakan satu-satunya spesies tapir yang mempunyai dua warna yang jelas iaitu hitam dan putih apabila meningkat dewasa.

Takiyuddin berkata, KeTSA melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan terus mempergiatkan usaha konservasi in-situ Tapir Malaya dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi.

“Selain itu, melaksanakan inventori serta menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, solar cahaya ambar dan papan tanda hidupan liar melintas di beberapa lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam aspek konservasi ex-situ, beliau berkata, program pembiakan Tapir Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor telah menghasilkan 18 kelahiran dalam kurungan manakala 14 ekor Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak 2008.

Katanya, usaha juga akan terus diperkasakan melalui penubuhan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka siap pada 2025. – Bernama