Tapir, haiwan yang kurang diberi perhatian

in Lidah Pengarang by

TIDAK ramai yang sedar bahawa Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April lalu dan penulis percaya tidak ramai juga yang tahu bunyi sebenar haiwan berkenaan.

Apakah faktor mendorong tapir kurang diberi perhatian. Adakah ia sejenis haiwan yang low profile atau tiada siapa peduli kerana rupa parasnya kurang menawan?

Ia mungkin kurang diberi perhatian kerana tapir biasanya hidup bersendirian, pemalu dan suka mengelak dari ditemukan serta mempunyai jangka hayat selama 30 tahun.

Di Malaysia, kita mempunyai Tapir Malaya. Ia bagaimanapun kian diancam kepupusan dan jumlahnya pada hari ini dianggarkan kurang daripada 1,000 ekor. Ia satu-satunya spesies tapir di Asia dan dikategorikan sebagai spesies terancam dan kebanyakan populasinya wujud dalam kawasan yang dilindungi dalam hutan.

Seperti dilaporkan Sinar Harian baru-baru ini, bilangan Tapir Malaya di negara ini amat membimbangkan sehingga mencetuskan persoalan adakah haiwan yang turut dikenali sebagai tenuk, cipan, Badak Tampung, Badak Tuli dan Badak Murai ini mengalami nasib sama seperti Badak Jawa dan Badak Sumatera yang pupus dalam negara?

Lebih menyedihkan, selain menjadi mangsa pemburu haram, Tapir Malaya juga sering menjadi mangsa kemalangan.

Kekurangan maklumat tentang biologi dan ekologinya, pemencilan habitat, kurang kesedaran rakyat terhadap pemuliharaan dan strategi kurang mantap dalam memulihara tapir juga antara faktor menyumbang kejatuhan populasi Tapir Malaya.

Usaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk terus mempergiatkan usaha konservasi in-situ Tapir Malaya harus diberi pujian.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara langkah-langkah berkaitan adalah dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi dan melaksanakan inventori.

Takiyuddin berkata, usaha tersebut akan terus diperkasakan melalui penubuhan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka siap pada tahun 2025.

Semoga usaha ini akan mengelakkan haiwan berkenaan daripada terus pupus.