PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

May 2022

Pakat lobi melobi kawasan nak bertanding

in Pojok by

SEJAK kebelakangan ini, Merak Jalanan tengok makin ligat pemimpin politik melancarkan kempen lobi melobi kawasan.

Ada yang tanpa segan silu beritahu mana kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen nak bertanding. Ada juga yang gunakan ‘pihak ketiga’ untuk berkempen.

Pihak ketiga mula sebut-sebut nama ‘bos’ mereka di media sosial atau gunakan blogger politik untuk menjaja nama.

Kemudian bila nama pemimpin tersebut sudah raih perhatian, pihak media terpaksalah buat susulan dengan pemimpin tertinggi parti untuk pengesahan.

Secara tidak langsung sudah jadi tekanan kepada ketua parti di peringkat negeri mahu pun di peringkat pusat.

Paling Merak Jalanan tak boleh ‘brain’ bila ada pemimpin tertentu yang singgah di kawasan pilihan hati mereka sambil mengedarkan ikan, ayam, beras dan macam-macam lagi.

Kata mereka, edarkan barangan keperluan harian untuk membantu penduduk kawasan kelahiran mereka.

Bagi Merak Jalanan niat itu memang baik dan tak salah pun.

Merak Jalanan tabik dan ucap tahniah.

Tapi yang tidak sedapnya selepas edar-edar barangan keperluan, dia jaja kepada pihak media atau orang kampung yang dia bersedia jika namanya dipilih untuk bertanding di kawasan itu.

Alasannya sebab sudah beberapa tahun menjalankan gerak kerja membantu di kawasan itu.

Lantas Merak Jalanan terfikir, ikhlaskah pemimpin-pemimpin seperti ini menghulurkan bantuan.

Apatah lagi hanya dengan seekor dua ikan dan ayam, kemudian mendakwa sudah membuat kerja di kawasan tersebut.

Pendek kata, baik punya lobi!

Masa bersama keluarga pasca Covid-19

in Analisis Sinar by

SEMUA insan inginkan sebuah keluarga bahagia. Sebagai institusi paling kecil dalam masyarakat, keluarga adalah asas kepada kesejahteraan negara.

Sebuah keluarga bahagia mampu menyelesaikan masalah dalaman dengan berbincang dan menemui cara terbaik. Ahli keluarga yang disayangi akan saling membantu dan memberikan sokongan serta bimbingan untuk sama-sama berjaya dalam hidup.

Justeru, peruntukan masa secukupnya buat keluarga adalah perlu walau sesibuk mana pun. Bak kata orang bijak pandai, jika ingin berada dalam memori anak pada masa hadapan, kita perlu luangkan masa bersama mereka pada hari ini.

Ahli keluarga asas ini sangat penting, malah kehadiran mereka seumpama sistem sokongan. Keluarga bahagia amat mustahak bagi membentuk individu yang positif serta berguna kepada masyarakat dan negara.

Bagaimanapun, kesibukan menjalani aktiviti harian tidak dapat dinafikan menjadi ‘pembunuh’ dalam keharmonian kekeluargaan. Ibu dan bapa sibuk bekerja, manakala si anak pula sibuk dengan tugasan dan aktiviti di sekolah.

Ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lalu, kebanyakan ibu bapa mempunyai banyak masa terluang bersama anak-anak disebabkan masing-masing berada di rumah sepanjang masa termasuk bekerja dari rumah.

Namun selepas tiada lagi kelonggaran bekerja dari rumah, situasi sudah berubah apabila ibu bapa mula sibuk dengan tugasan di pejabat, manakala anak sibuk pergi ke sekolah menyebabkan hubungan kekeluargaan kembali terbatas.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya mencari plan B untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga. Salah satu caranya ialah dengan membawa keluarga melancong ke tempat-tempat menarik ketika cuti hari minggu, cuti umum atau cuti sekolah.

Tidak hanya menenangkan fikiran, berlibur bersama keluarga secara tidak langsung memberi peluang menerokai pengalaman baharu bersama-sama, berkongsi kegembiraan, sekali gus mengenali dan mempelajari kebudayaan serta cara hidup negeri yang dilawati.

Apabila sektor pelancongan sudah dibuka ketika negara sedang ke arah fasa endemik, inilah masanya untuk kita mengambil peluang yang ada, dalam masa sama membantu merancakkan kembali pelancongan negara yang terjejas ketika PKP lalu.

Ketika ini pun pelbagai kempen dan promosi dilakukan Kementerian Pelancongan bagi destinasi pelancongan tempatan seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Melaka dan Cameron Highlands untuk menarik semula kedatangan pelancong.

Jadi, tak perlulah berfikir untuk melancong jauh ke luar negara yang memerlukan belanja besar. Negara kita juga mempunyai pelbagai lokasi menarik setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara.

Oleh itu, bersama-sama menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara melalui melancong di dalam negeri.

Pun begitu, dalam keseronokan, jangan pula kita leka. Meskipun negara sudah ke arah fasa endemik, kena sedar bahawa wabak Covid-19 masih ada dan belum reda.

Bahkan, tiada siapa pun yang mampu menjadi kebal daripada Covid-19 kerana suntikan vaksin dan dos penggalak hanya dapat mengurangkan gejalanya sahaja. Sentiasa berwaspada dengan membuat ujian saringan kendiri sekiranya menunjukkan simptom-sipmtom.

Selain Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) juga tidak seharusnya dipandang ringan. Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak berusia bawah 10 tahun.

Sehingga 28 Mei lalu, direkodkan sebanyak 59,831 kes HFMD (atau 91 peratus) adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, manakala 4,593 kes (tujuh peratus) daripadanya adalah kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Walaupun kes HFMD tinggi melibatkan kanak-kanak, orang dewasa juga tidak terkecuali berisiko untuk dijangkiti.

Dalam kegembiraan berlibur bersama keluarga, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan jangkitan.

* Azma Mohd Lazim ialah Wartawan SinarPlus

Tukar ‘hujan emas’ di negeri sendiri

in Lidah Pengarang by

PENDEDAHAN Sinar Harian mengenai anggaran jumlah tenaga pakar Malaysia yang memilih berhijrah mencari rezeki di luar agak mengejutkan.

Jumlah 500,000 orang, walaupun merangkumi tempoh beberapa tahun, namun sebenarnya bukanlah angka yang boleh dipandang sebelah mata.

Ini kerana tenaga kerja profesional mempunyai peranan besar dalam mencatur dan mencorak pembangunan negara.

Mereka yang memilih ‘angkat kaki’ ke negara lain datang daripada pelbagai bidang antaranya perubatan, kejuruteraan, penyelidikan, pendidikan dan bermacam-macam lagi.

Lebih merugikan, Malaysia hilang bakat-bakat hebat dalam bidang yang memang masih baharu di Malaysia, sebagai contoh teknologi aeroangkasa.

Bayangkan jika tenaga dan bakat sejumlah 500,000 orang itu berada di Malaysia, betapa banyak perubahan dan kemajuan lebih baik boleh kita kecapi.

Fenomena yang dipanggil ‘brain drain’ iaitu pengaliran bakat profesional ke negara lain sebenarnya berlaku di hampir kesemua negara.

Bagaimanapun, berbanding negara lain yang peratusan pengaliran bakat ke negara asing sekitar lima peratus, namun Malaysia kehilangan permata-permata berharga ini sehingga 10 peratus.

Gaji yang lebih besar dan budaya kerja lebih kondusif sudah tentunya menjadi penyebab utama profesional memilih untuk merasai nikmat hujan emas di negara orang. Walaupun ada sesetengah pandangan biarlah mereka mahu bekerja di luar negara, itu pilihan mereka!

Jika kita membiarkan pemikiran sebegitu membelenggu kita, nampaknya kita sekadar mengambil jalan mudah dan tidak berfikiran jauh.

Selain kerugian bakat dan cerdik pandai, kehilangan tenaga profesional ini menyebabkan kita terpaksa mengimport tenaga pakar luar dan membayar dengan harga jauh lebih besar.

Lantaran itu, sudah tiba masanya kerajaan, agensi dan majikan di negara ini mengambil serius isu ini. Tawaran gaji lebih berpadanan, budaya kerja lebih kondusif dan kebajikan bakat profesional perlu diberi penekanan.

Kita tidak boleh membenarkan lebih ramai cerdik pandai Malaysia berhijrah ke luar. Kita perlu menukarkan pepatah ‘hujan batu kepada hujan emas di negeri sendiri’.

Kerajaan tidak kawal kos pemberian vaksin kanak-kanak: Noor Azmi

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengawal kos pemberian vaksin oleh fasiliti kesihatan swasta susulan penamatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) pada Selasa.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kos terbabit termasuk caj konsultasi dan harga vaksin bergantung sepenuhnya kepada pihak yang menawarkan servis itu.

“Harga vaksin akan ikut harga siling, perkara ini bergantung kepada pihak swasta sebab mereka terpaksa membeli vaksin dan mereka akan buat ‘charging’ mengenai konsultasi, ‘consumables’ dan sebagainya, itu bergantung kepada setiap fasiliti dan harga akan berbeza-beza,” katanya selepas merasmikan Majlis Hari Bebas Tembakau di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berhasrat melanjutkan PICKids kerana telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Katanya, selepas ini, jika ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk anak masing-masing, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

Beliau turut memaklumkan, KKM sedang memfokus kepada usaha menyelesaikan pemberian vaksin untuk kanak-kanak yang berusia lima tahun esok.

“Kanak-Kanak yang belum mencapai usia lima tahun akan terus diberi peluang untuk mendaftar dan buat janji temu di pautan yang diberikan hingga 31 Januari 2023.

“Untuk anak-anak yang telah didaftarkan untuk PICKids tetapi dijangkiti Covid-19, mereka diminta untuk tangguh dulu sehingga mereka sembuh sekurang-kurangnya enam minggu, selepas itu untuk mendapatkan vaksin, mereka boleh pergi kepada klinik kesihatan untuk mendapatkan janji temu untuk vaksin, masa terakhir ialah pada 31 Ogos,” katanya.

Dr Noor Azmi turut menyeru, ahli Parlimen agar menyokong Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentang Julai ini untuk diluluskan.

“Kita berhasrat sangat untuk membawa rang undang-undang ini yang Menteri Kesihatan akan bentangkan di Parlimen pada bulan Julai… kita tunggu lama dah dan kita dapat lihat banyak usaha yang dilakukan tetapi pergerakan peratus prevalen merokok sangat lembab,” katanya. – Bernama

Vaksin Covid-19: PICKids tamat hari ini, selepas ini perlu bayar

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) secara percuma melabuhkan tirainya hari ini (Selasa).

Bermula 1 Jun, kerajaan tidak lagi memberi suntikan pelalian itu kepada golongan tersebut, sebaliknya perlu mendapatkannya di klinik swasta secara berbayar.

Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 akibat jangkitan Covid-19.

Sejak dilancarkan pada 2 Februari lalu, sebanyak 70,923,930 dos yang merangkumi 27,981,746 dos pertama dan 27,059,981 dos kedua serta 16,096,363 dos penggalak diberikan kepada kanak-kanak.

Labuan merekodkan vaksinasi tertinggi iaitu 22.1 peratus diikuti Sarawak (20.5); Melaka (20.0); Lembah Klang (18); Perak (17.4); Negeri Sembilan (16.8); Johor (16.5); Pahang (15.4); Kedah (13.8); Sabah (13.6); Perlis (11); Pulau Pinang (10.7); Terengganu (9.9) dan Kelantan (7.2) peratus setakat pada 30 Mei.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menegaskan kerajaan tidak lagi melanjutkan tarikh pemberian vaksin Covid-19.

Katanya, kerajaan telah memberi tempoh masa yang panjang untuk ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka.

Sebelum ini, tarikh akhir PICKids ditetapkan pada 15 Mei namun dilanjutkan ke 31 Mei selepas mengambil kira cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

1,171,888 kanak-kanak lengkap vaksinasi Covid-19

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Seramai 1,171,888 atau 33 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah lengkap divaksin di bawah Program Imunisasi Kanak-kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) setakat Isnin.

Berdasarkan data menerusi laman sesawang CovidNow, sejumlah 1,720,411 atau 48.4 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,913,596 atau 93.6 peratus telah lengkap divaksin, manakala 3,010,184 atau 96.7 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, sejumlah 16,096,363 atau 68.4 peratus orang dewasa di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak, 22,974,497 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos suntikan vaksin dan 23,251,151 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 10,803 dos harian diberikan pada Isnin meliputi 5,322 dos pertama, 3,491 dos kedua dan 1,990 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 70,923,930.

Sementara itu, Portal Github Kementerian Kesihatan melaporkan empat kematian akibat Covid-19 Jumaat dengan dua kes di Kedah dan masing-masing satu kes di Melaka dan Negeri Sembilan. – Bernama

Covid-19: 1,323 kes baharu, empat kematian direkodkan

in Koronavirus by

SHAH ALAM – Sebanyak 1,323 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak tersebut kepada 467,925 kes setakat ini.

Menerusi laporan portal CovidNow pada Selasa, dua daripada kes baharu yang dilaporkan adalah kes import.

Portal itu turut melaporkan, sebanyak empat kematian direkodkan dengan satu daripadanya merupakan kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 35,669 orang daripada 4.4 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini

Data tersebut turut melaporkan sebanyak 23,779 kes masih aktif atau atau 95.8 peratus daripadanya merupakan individu dikuarantin di rumah dan 15 pesakit berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dalam pada itu seramai 954 pesakit Covid-19 ditempatkan di hospital dengan 32 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Setakat ini sebanyak 1,935 kes sembuh baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negara ini sebanyak 4,445,611.

Nafas baharu dalam PKR?

in Analisis Semasa by

SETAKAT Isnin, keputusan tidak rasmi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 memberikan gambaran terhadap perubahan kepimpinan yang bakal berlaku dalam parti utama pembangkang itu.

Paling mendapat perhatian tentunya persaingan merebut kerusi jawatan Timbalan Presiden PKR yang menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli secara tidak rasmi berjaya mengatasi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan jumlah majoriti undi besar.

Sementara itu, perebutan untuk beberapa jawatan utama kepimpinan juga menyaksikan nama yang dikaitkan dengan ‘Kem Rafizi’ yang sedang mendahului persaingan.

Terdahulu, media melaporkan menerusi keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan, Rafizi yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden memperoleh 68,992 undi jauh meninggalkan pesaingnya iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, 50,038 undi.

Manakala, bagi jawatan Naib Presiden pula, dimenangi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Jawatan Ketua AMK pula dilaporkan dimenangi oleh bekas Aktivis pelajar, Adam Adli yang mengatasi pencabarnya Fahmi Zainol.

Rafizi dalam kenyataannya pada Isnin berkata, kemenangan yang diperolehnya dengan undi selesa itu menunjukkan bahawa anggota PKR mahu parti itu kembali kepada landasan reformasi yang diperjuangkan sejak kewujudannya.

Katanya, beliau juga percaya rakyat ketika ini mahukan barisan pentadbiran daripada kalangan ahli politik yang mempunyai wawasan dan idea penyelesaian terhadap masalah dihadapi mereka.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, anggota parti itu telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR memperkukuh gabungan sedia ada dalam Pakatan Harapan (PH) dan menolak strategi ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan keputusan rasmi Pemilihan PKR bakal diumumkan pada Kongres PKR 2022 yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Jun depan.

Tempoh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian yang bermula 29 Mei pula akan dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Rakyat semakin khuatir

in Lidah Pengarang by

KETEPIKAN kemelut politik, di Malaysia kini ada beberapa ‘ketakutan’. Pertama, wabak Covid-19 yang masih mencengkam diikuti dengan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang sedang meledak dan kebingungan tentang virus cacar monyet.

Bukan hanya penyakit semata-mata, tetapi sosio ekonomi negara semakin tidak stabil. Mana tidaknya, kebebasan membeli ayam tidak lagi dapat dinikmati ekoran krisis bekalan yang meruncing.

Itu cerita ayam. Harga ikan dan tepung juga mencanak naik disusuli dengan barangan keperluan lain. Senario itu akhirnya menyaksikan kita sebagai pengguna yang menjadi mangsa.

Segala-galanya mahal belaka. Rasa terseksa hidup pada zaman penuh pancaroba ini. Gaji juga masih di takuk lama.

Berbalik kepada soal penyakit, usah bicara tentang Covid-19 yang diramal hanya akan berakhir tujuh tahun lagi.

Kini, kes HFMD bagai duri dalam daging. Berdasarkan keluhan dalam media sosial, ramai ibu bapa semakin risau untuk menghantar anak ke taska, tadika, mahupun pusat asuhan.

Kekhuatiran itu semakin menjadi-jadi apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan, setakat Sabtu minggu lalu, angka HFMD meningkat 20 kali ganda iaitu sebanyak 47,209 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Difahamkan, ada sesetengah pusat penjagaan masih menangguk dalam air keruh apabila tetap meneruskan operasi, walaupun terdapat kanak-kanak dijangkiti virus berbahaya itu.

Hal tersebut sangat dikesali. Diharap pihak berkuasa lebih peka dan tegas ke atas premis yang mementingkan diri sendiri.

Kena ingat, virus HFMD bukan sembarangan kerana ia mampu mencetus keradangan otak dan boleh membawa kematian.

Mengenai cacar monyet, meskipun pakar mengandaikan wabak itu tidak boleh berkembang menjadi pandemik yang mirip dengan Covid-19 ekoran virus tersebut tidak menyebar semudah Sars-Cov-2, kerajaan masih perlu lebih berwaspada.

Pastikan pelancong asing disaring dengan berhati-hati di semua pintu masuk antarabangsa lebih-lebih lagi mereka dari negara yang sudah dijangkiti.

Melihat kepada semua kesusutan itu, nampaknya fasa pemulihan negara terencat, keresahan rakyat semakin bertambah.

Justeru, diharap kerajaan lebih super sensitif terhadap setiap musibah yang sedang ditanggung kita sekarang.

1 2 3 20
Kembali UTAMA