Peningkatan penyakit Kawasaki ada kaitan dengan Covid-19

in Analisis Semasa by

SHAH ALAM – Pakar Kanak-Kanak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rashdan Zaki Mohamed mendedahkan kajian semasa menunjukkan peningkatan kes penyakit Kawasaki yang ketara ketika ini ada kaitan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Selain penyakit Kawasaki, sindrom keradangan multisistem dalam kanak-kanak (MIS-C), penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan virus sinsitium pernafasan (RSV) juga sedang meningkat.

Namun, penyakit yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah MIS-C dan penyakit Kawasaki yang mana kanak-kanak akan berdepan risiko masalah jantung, kegagalan organ dan paling serius boleh membawa maut jika tidak diberikan rawatan segera.

Antara tanda utama seseorang kanak-kanak mengalami MIS-C atau KD adalah demam berpanjangan, ruam merah, bibir merekah, mata merah, bengkak limfa noda serta bengkak kaki dan tangan.

Kedua-dua penyakit tersebut berkongsi persamaan ciri tertentu dari segi tanda klinikal, seperti demam, ruam dan tanda oral seperti bibir merah dan merekah.

Bezanya, MIS-C melibatkan organ lain seperti sistem usus dan penghadaman, pernafasan, jantung, kulit dan mukosa, dan mungkin boleh jadi lebih serius.

Biasanya kanak-kanak yang dijangkiti MIS-C atau Kawasaki ini akan mengalami demam lebih daripada lima hari dan demam berterusan walaupun rawatan seperti ubat demam dan antibiotik telah diberikan.

Justeru, ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan membawa anak untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya menghadapi gejala yang membimbangkan.