Forensik audit langkah tepat selamatkan Sapura

in Wacana by

SHAH ALAM – Forensik audit adalah langkah tepat perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff yakin saranan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah usaha terbaik perlu dilakukan kerajaan bagi mengenal pasti punca dan mencari jalan penyelesaian terhadap kerugian yang berlaku dalam syarikat berkenaan.

“Kita harus tahu bail out di Malaysia tidak akan menyelesaikan masalah sebab duit kerajaan tidak digunakan dengan penuh tanggungjawab, ia perlu dihentikan.

“Bila kita lihat daripada beberapa kajian yang telah dibuat, kalau bail out ini diberi secara ‘free money’ duit itu diberi kepada syarikat yang mempunyai masalah dan kita biarkan mereka uruskan ianya tidak akan berhasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Edisi ke-344 ‘#NajibvsAnwar demi rakyat atau sandiwara politik’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, Pengurus Kanan Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, IDEAS, Aira Azhari dan personaliti media sosial, Tai Zee How (Apek Cina) dikendalikan Ismail Adnan selaku moderator

Malah katanya lagi, cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk gunakan Petronas sebagai penyelamat juga tidak boleh dibuat kerana Petronas bukan hak kerajaan sepenuhnya tetapi milik rakyat juga.

“Kita harus berfikir panjang dan tak boleh gunakan Petronas untuk bantu syarikat-syarikat yang mempunyai masalah.

“Kalau hendak selamatkan Sapura boleh tapi kena kaji dan ambil langkah spesifik untuk tidak lagi mengulang semula kelemahan yang berlaku sebelum ini dan pendekatan yang dibuat haruslah berbeza.