Berlaku adillah kepada khazanah alam

in Analisis Sinar by

MALAYSIA sangat terkenal dengan hutan yang cantik, lebih-lebih lagi di Sarawak dan Sabah. Hutan Simpan Semanggoh di Siburan, Sarawak contohnya popular sebagai habitat orang utan.

Hutan di Semenanjung Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Gunung Liang Timur di Tanjung Malim, Perak misalnya terkenal dengan mossy forest di puncaknya.

Persoalannya, sejauh manakah hutan terkenal ini dapat dilindungi daripada menerima nasib yang sama seperti hutan-hutan lain, yang ada antaranya ditarah sehingga botak atas nama pembangunan?

Sudah banyak kali berlaku pembalakan yang menguntungkan segelintir individu akhirnya mengundang sengsara kepada orang ramai akibat kejadian banjir yang berpunca daripada aktiviti pembersihan hutan.

Malangnya setiap kali banjir, hujan luar biasa pula yang sering disalahkan.

Hujan sudah pasti turun untuk membasahi bumi tetapi jika pokok-pokok dipotong menjadi balak, sudah pasti mandi lumpur juga penduduk yang tidak bersalah.

Ini kerana salah satu fungsi hutan ialah menyerap air hujan supaya ia tidak bertukar menjadi banjir. Cerita banjir yang membawa kayu balak sehingga merobohkan rumah di laluannya bukan tidak pernah didengar sebelum ini.

Pakar geologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo pernah menjelaskan bahawa pembalakan adalah punca hutan menjadi gondol, yang kemudian menyebabkan pula hakisan tanah tinggi bersifat ekstrem dengan bukit serta tebing sungai mudah mengalami kejadian tanah runtuh.

Hujan

Maka benarlah jika tiada pokok yang menjadi tunjang ini maka tenggelam juga tempat yang tiada persiapan untuk menerima ‘hujan yang luar biasa’ seperti yang sering kita hadapi.

Pembalakan di Malaysia bukan sahaja harus dikawal malah patut dihentikan sementara bagi mencari jalan untuk menyelesaikan isu banjir yang tiada kesudahan.

Jika ditanya kepada warga kota pula, mereka juga terpaksa melalui azab banjir tetapi bukan disebabkan pembalakan sebaliknya berpunca daripada pembangunan secara berlebihan.

Perkara ini pernah diakui sendiri oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ketika ditemu ramah mengenai hal banjir di Kuala Lumpur pada tahun 2018. Beliau berkata, ada banyak projek pembangunan sedang berjalan dan beliau mengakui agak sukar untuk sentiasa memantau semuanya.

Tiga tahun selepas temu ramah itu, Lembah Klang masih bergelut dengan banjir yang teruk seperti yang berlaku pada akhir tahun lalu.

Jika hujan juga menjadi permasalahan utama kepada negara apabila banjir, kenapa Singapura yang dikelilingi laut tiada pula berita mereka tenggelam.

Mungkin inilah masanya untuk kita mendengar pandangan ahli akademik dan juga jurutera yang banyak mengkaji mengenai kesan dan akibat apabila kita berlaku tidak adil kepada alam.

Kesannya amat tidak berbaloi untuk tempoh masa panjang apabila akibatnya lebih banyak terkena kepada rakyat marhaen yang rata-rata memang hidup susah, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga.

*Arif Fazrul Basuri ialah Pengisi Kandungan Sinar Harian