Krisis makanan: Sudahkah kita bersedia?

in Lidah Pengarang by

SUDAH lama pakar-pakar dalam bidang pertanian memberikan amaran kepada kerajaan berhubung keselamatan makanan di negara ini yang berada pada paras membimbangkan.

Malah kerajaan melalui kementerian yang dipertanggungjawabkan tentang bidang pertanian di negara ini juga sering menyentuh tentang perkara tersebut.

Namun, timbul persoalan tentang usaha dan strategi untuk memastikan kita mampu mengeluarkan makanan ketika berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi.

Sebagai contoh, India melarang eksport gandum akibat fenomena gelombang haba memburukkan lagi krisis makanan semasa yang dihadapi seluruh dunia.

Malaysia tidak mengimport gandum dari India, sebaliknya 80 peratus bijirin itu diimport dari Australia selain Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Namun, tindakan India itu sudah pasti mengakibatkan negara pengeluar gandum yang lain akan menaikkan harga bijirin tersebut.

Baru-baru ini, timbul dakwaan peruncit di negara ini sukar untuk mendapatkan bekalan tepung gandum daripada pemborong malah ada pemborong mengenakan harga yang tinggi.

Apabila berlaku isu berkaitan bekalan makanan, biasanya kita akan mendengar KPDNHEP membuat pemantauan bagi mengenal pasti punca kekurangan bekalan itu, termasuk kemungkinan disorokkan pemborong.

Dalam pada itu, kita mahu agar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mampu untuk mengatasi masalah tersebut.

MAFI sebelum ini ada melakukan pelbagai tindakan memastikan bekalan makanan di negara ini sentiasa stabil, cuma dalam menghadapi krisis makanan ini, kementerian itu mungkin perlu lebih proaktif mencari formula lain dalam penghasilan hasil pertanian untuk domestik.

Contohnya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) boleh mencari varieti gandum yang sesuai ditanam di Malaysia bagi menghadapi masalah bekalan bijirin tersebut.

Dalam masa sama, kerajaan juga perlu melihat semula banyak tanah pertanian yang dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan dan industri.